SHAH ALAM - Sebarang cadangan penangguhan pilihan raya atas alasan ketegangan geopolitik di Timur Tengah tidak boleh dijadikan justifikasi untuk melemahkan proses demokrasi di negara ini.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, cadangan pihak tertentu termasuk gesaan menangguhkan pilihan raya negeri Johor dan Melaka susulan situasi semasa di rantau berkenaan menimbulkan kebimbangan, malah turut dikaitkan cadangan pengisytiharan darurat.
"Keadaan itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong apabila negara berdepan ancaman serius terhadap keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam.
"Darurat bukan alat politik untuk mengelak tanggungjawab kepada pengundi atau mengganggu proses demokrasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilapor berkata akan membawa usul untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) berkenaan ke Mesyuarat MKT yang akan diadakan Jumaat ini di Melaka, berikutan krisis Asia Barat.
Menurutnya, keadaan semasa dilihat kurang sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat masih berdepan pelbagai kesan ekonomi termasuk isu harga bahan api.
Namun Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, cadangan tersebut adalah pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian atau keputusan parti.
Dalam pada itu Yee Fung menjelaskan, sejarah negara menunjukkan darurat hanya diisytiharkan dalam krisis besar seperti Konfrontasi Indonesia–Malaysia, Peristiwa 13 Mei, krisis Perlembagaan Sarawak serta pandemik COVID-19, dan bukannya disebabkan cabaran ekonomi atau krisis tenaga semata-mata.
Tambahnya, ketidaktentuan ekonomi global merupakan perkara biasa yang memerlukan kecekapan kerajaan dalam menguruskan keadaan dan bukan dijadikan alasan untuk melemahkan institusi demokrasi.
"Kerajaan yang bertanggungjawab perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu sebenar rakyat seperti inflasi, pekerjaan dan kos tenaga, bukannya mengelak daripada penelitian awam.
"Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, rakyat berdepan dengan pelbagai isu termasuk kelemahan pentadbiran dan pembaharuan yang terbantut, menjadikan pilihan raya sebagai medan penting untuk pengundi membuat penilaian," ujarnya.
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment