NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Diesel ke Filipina diimport dari India, Asia Utara -Fahmi Fadzil



  • Kekeliruan timbul apabila sebuah syarikat perdagangan komoditi yang beroperasi dari Singapura menggunakan kemudahan penyimpanan di Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin untuk aktiviti pemindahan kargo.
  • Masyarakat diingatkan agar tidak mudah mempercayai informasi yang tular di media sosial tanpa membuat pengesahan daripada sumber sahih.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan milik Malaysia atau PETRONAS sebaliknya, diimport dari India dan Asia Utara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata,  kekeliruan timbul apabila sebuah syarikat perdagangan komoditi yang beroperasi dari Singapura menggunakan kemudahan penyimpanan di Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin untuk aktiviti pemindahan kargo.

“Diesel itu bukan diesel Malaysia, minyak itu bukan kita yang jual. Kerajaan tidak ada menjual apa-apa minyak kepada mana-mana negara termasuklah juga Filipina.

“Rupa-rupanya apa yang telah berlaku, ada sebuah syarikat dia adalah syarikat perdagangan dan dia jual-beli komoditi termasuk diesel, pejabatnya adalah di Singapura serta mempunyai tempat simpanan di Tanjung Pelepas di Tanjung Bin di Johor.

“Kapal itu telah sampai untuk buat ‘transhipment’ dari kapal ke kapal. Kapal yang berlayar ke Filipina itu dikira datang dari Malaysia. Tapi itu bukan diesel kita, itu bukan diesel PETRONAS. Itu adalah diesel daripada negara India dan Asia Utara,” katanya seperti dilaporkan media semalam.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai informasi yang tular di media sosial tanpa membuat pengesahan daripada sumber sahih.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam memaklumkan, penghantaran sebanyak 329,000 tong diesel ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, MTEN menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Dalam satu kenyataan berasingan, PETRONAS menafikan penglibatan syarikat itu dalam isu penghantaran bekalan diesel berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak pernah memeterai sebarang aturan sedemikian dengan mana-mana pihak di Filipina.

Tegasnya, keutamaan tertinggi PETRONAS kekal untuk memastikan bekalan bahan api yang dipercayai dan berterusan untuk pasaran Malaysia, melalui koordinasi erat dengan kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

Sebelum ini, Philippine News Agency dalam laporannya mendakwa kira-kira 329,000 tong atau 52,311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke negara itu bagi memperkukuh bekalan bahan api negara itu di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran minyak global yang dicetuskan oleh krisis di Timur Tengah.

Ketibaan terbaharu diesel perolehan kerajaan itu didakwa menyusuli penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong, atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac lalu.

 Langkah ini dikatakan selaras dengan arahan Presidennya, Ferdinand R. Marcos Jr. di bawah Perintah Eksekutif 110 untuk memastikan bekalan minyak yang stabil dan mencukupi dalam mendepani ketidakpastian pasaran luar yang kian memuncak.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Setiausaha Jabatan Tenaga (DOE) republik itu, Sharon Garin berkata, ketibaan penghantaran kedua ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan bekalan domestik memandangkan ketegangan di wilayah Teluk terus memuncak. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo