BUKIT MERTAJAM - DAP perlu terus berpegang kepada prinsip asalnya dengan berani menyuarakan kebenaran, bertanggungjawab atas setiap tindakan serta tidak berkompromi dalam soal kepentingan rakyat.
Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun DAP menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun parti itu berpandangan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan demi memastikan kejayaan negara.
“DAP perlu terus berpegang kepada prinsip asalnya, berani menyuarakan kebenaran, bertanggungjawab atas tindakan dan tidak berkompromi dalam soal kepentingan rakyat.
“Walaupun kita menyokong kepimpinan Perdana Menteri, kita berpendirian bahawa beliau mampu melakukan yang lebih baik demi kejayaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 parti itu di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa DAP tidak pernah melupakan prinsip, idealisme dan perjuangan asal parti walaupun kini berada dalam kerajaan.
“Tanggapan kononnya kita sudah melupakan prinsip dan idealisme adalah tidak benar. Kita tidak pernah lupa asas perjuangan kita.
“Sebab itu kita akan mengadakan persidangan parti pada Julai ini bagi memberi ruang kepada perwakilan menentukan hala tuju parti selain menunjukkan kepada rakyat bahawa DAP kekal konsisten,” ujarnya.
Guan Eng yang juga mantan Setiausaha Agung DAP berkata, langkah tersebut juga bertujuan memastikan agenda reformasi terus diperkasakan serta tidak terpesong daripada landasan asal.
Dalam masa sama, katanya, sebarang teguran atau pandangan yang disuarakan terhadap kepimpinan kerajaan adalah demi memastikan kejayaan Perdana Menteri sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita mahu Perdana Menteri berjaya. Bila beliau berjaya, negara akan mendapat manfaat dan kita juga mampu mencapai kejayaan dalam pilihan raya akan datang.
“Apa yang kita lakukan adalah untuk memastikan beliau dapat melakukan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP tidak akan sesekali membenarkan rakyat menjadi mangsa dalam sebarang dasar atau keputusan.
“Kita tidak akan mengorbankan prinsip dan tidak akan membiarkan rakyat menjadi mangsa.
"Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan perjuangan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli dan penyokong untuk terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan parti bagi memastikan DAP terus kukuh dan relevan pada masa hadapan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment