NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Yang kalut di luar, bukan dalam PN” – Annuar Musa



KUALA SELANGOR – Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menepis dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) sedang dilanda krisis dalaman, sebaliknya menegaskan gabungan itu kekal stabil dan tersusun menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, tanggapan bahawa PN berada dalam keadaan kelam-kabut sebenarnya lebih banyak berpunca daripada persepsi yang dibentuk pihak luar serta usaha segelintir pihak yang cuba mencetuskan polemik politik.

“Saya rasa yang kalut ini di luar. Ada pihak yang cuba menambah kekalutan itu, tetapi dalam PN sebenarnya tidak ada kekalutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Badar PRU16 Dewan Pemuda Pas Selangor di sini, malam tadi.

Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, masyarakat perlu membezakan antara kenyataan peribadi seseorang pemimpin dengan pendirian rasmi parti atau gabungan, kerana kedua-duanya sering disalah tafsir.

Menurutnya, dalam politik adalah perkara biasa apabila pandangan individu disalah anggap sebagai pendirian rasmi organisasi sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah berlaku konflik dalaman.

“Kadang-kadang bila seseorang bercakap secara peribadi, orang anggap itu adalah kenyataan parti. Sedangkan ada kenyataan peribadi dan ada kenyataan rasmi organisasi,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut mengakui terdapat beberapa perbezaan pandangan yang timbul dalam kalangan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kebelakangan ini, namun menegaskan situasi itu tidak menggambarkan krisis dalam PN secara keseluruhan.

Tambah beliau, perbezaan pendapat di peringkat individu tidak seharusnya diperbesar sehingga dilihat sebagai perpecahan besar dalam gabungan pembangkang tersebut.

Menurut Annuar lagi, sejak Pas memainkan peranan penting dalam kepimpinan PN, gabungan itu dilihat semakin tersusun dari segi struktur serta lebih jelas hala tujunya.

Sehubungan itu, beliau yakin segala perkara berkaitan hala tuju serta strategi gabungan akan diperincikan dalam mesyuarat rasmi PN yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bukan bermaksud beliau merupakan calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, soal calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan secara rasmi, sebaliknya pelantikan Samsuri dibuat selepas Pas bertegas mencadangkan nama beliau.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi PN akur dengan keputusan tersebut dan melihatnya sebagai ruang untuk memberi peluang kepada pemimpin serta tokoh muda.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat reaksi balas Samsuri yang menegaskan keutamaan PN ketika ini adalah memperkukuh gabungan serta memantapkan muafakat parti-parti komponen menjelang PRU akan datang.

Malah beliau turut memberi mesej bahawa soal siapa calon Perdana Menteri PN bukan isu utama buat masa ini.

“Yang pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan lagi calon PM,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo