ALOR SETAR - Tuduhan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung bekas wakil rakyat memiliki 300 ekar (121 hektar) tanah di Kuala Nerang, disifatkan sebagai keterlaluan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu perlu diperjelaskan siapa yang dimaksudkan beliau kerana menimbulkan persoalan dalam kalangan bekas wakil rakyat kawasan terbabit.
"Cakap pasal memiliki 300 ekar tanah oleh bekas wakil rakyat di Kuala Nerang, siapa yang ditujukan? Dia kata kat siapa? Kemudian (katanya) kami tak buat dah kerja-kerja macam itu, kami tak ikut dah teladan yang macam itu.
"Sampai macam itu kamu kata pada orang, tak payahlah ini bulan puasa dan saya pun jarang nak cakap macam ini, tapi keterlaluanlah Sanusi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Simfoni Sinergi Media@Keda 2026 : Edisi Moreh di sini pada Jumaat.
Mahdzir yang juga Bekas Menteri Besar Kedah berkata, setakat ini hanya enam wakil rakyat Kuala Nerang yang masih hidup termasuk beliau sendiri.
"Di Kuala Nerang ada enam lagi bekas wakil rakyat yang masih hidup iaitu saya sendiri, Datuk Seri Ghazali, Datuk Badrul Hisham, Datuk Syed Razak, Datuk Syed Sobri, Datuk Abdul Latif Mat Saman serta Kama Noriah jadi siapa yang dia maksudkan memiliki 300 ekar tanah itu?" katanya.
“Saya sudah bertanya kepada mereka sama ada memiliki tanah sebanyak 300 ekar seperti disebut, namun seorang pun tidak mempunyai tanah sebanyak itu,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) berkata, kenyataan sedemikian tidak wajar dibuat tanpa penjelasan jelas kerana boleh menimbulkan salah faham.
Beliau sendiri akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi meminta penjelasan lanjut mengenai individu yang dimaksudkan dalam dakwaan tersebut.
Dalam masa sama, Mahdzir turut mendedahkan, bagi pihak dirinya sendiri, hanya mempunyai kira-kira tujuh hektar tanah di Kuala Nerang.
Sebelum ini, satu video tersebar mengenai kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa akan terus memelihara kekayaan negeri demi rakyat Kedah.
Jelas Muhammad Sanusi menerusi video berkenaan, situasi di mana wakil rakyat didakwa memiliki tanah dalam jumlah yang besar tidak akan berlaku lagi semasa pemerintahan beliau ketika ini.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment