KUALA LUMPUR – Kenyataan terbuka bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli terus mengundang polemik apabila dilihat berpotensi menggugat kestabilan dalaman kerajaan, khususnya dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH).
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, beliau menghormati pandangan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Profesor Dr Tajuddin Rasdi, namun menegaskan gaya politik Rafizi yang disifatkan sebagai ‘diva’ tidak boleh dipandang ringan.
“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa Rafizi memang mempunyai gaya politik `diva’ yang cenderung untuk bersuara secara terbuka walaupun terhadap rakan dalam kerajaan sendiri,” katanya, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Tajuddin yang menyifatkan Rafizi sebagai liabiliti bukan sahaja kepada PH, malah kepada landskap politik negara.
Menurut Dzul Hilmi, persoalan utama ketika ini bukan siapa betul atau salah, sebaliknya kesan pendekatan tersebut terhadap kekuatan kerajaan.
“Persoalannya adakah pendekatan ini membantu atau melemahkan Pakatan Harapan!” soal beliau.
Tambahnya, dalam suasana politik semasa, kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi keutamaan.
“Bila terlalu banyak kritikan terbuka terhadap pimpinan sendiri, termasuk terhadap PMX, ia sedikit sebanyak boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong.
“Politik bukan sekadar siapa paling lantang, tetapi juga soal strategi dan timing. Jika setiap isu dalaman dibuka kepada umum tanpa kawalan, akhirnya naratif itu akan dimanfaatkan oleh pihak lawan untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak persepsi bahawa Rafizi kini dilihat sebagai liabiliti dari sudut politik, selain cuba menonjolkan imej neutral.
“Jika mengambil pandangan peribadi, ‘ya’ Rafizi memang dilihat sebagai liabiliti dari sudut persepsi politik dan kepimpinan di dalam negara sekarang, dan mungkin niat Rafizi adalah untuk menampakkan yang beliau di kerusi neutral.”
“Tetapi saya juga tidak teragak-agak untuk bersetuju melabelkan yang Rafizi sebagai attention seeker yang mahukan lensa media tertumpu kepada beliau dan mahu rakyat menggelarkan dia sebagai orang yang berani mengkritik kerajaan, padahal sewaktu beliau di kerusi menteri kita sendiri dapat melihat bertapa diam dan kelunya lidah Rafizi untuk mengkritik dasar yang kerajaan lakukan ketika itu,” katanya.
Jelasnya, fokus utama kini adalah disiplin dalam kerajaan serta kesatuan mesej kepada rakyat, apatah lagi ketika negara masih berdepan ketidaktentuan global.
“Kita boleh lihat hasil impak ekonomi di dalam negara kita tatkala banyak negara-negara luar terperangkap di dalam kemelut perang yang tercetus, tetapi tidak bagi Malaysia yang berjaya memastikan subsidi dan bekalan untuk persiapan Aidilfitri untuk rakyat kekal tidak terjejas.
“Kita tidak boleh masuk ke PRU16 dalam keadaan berpecah dari segi naratif. Akhirnya rakyat tidak menilai siapa terpaling lantang dan terpaling betul tetapi rakyat menilai siapa menjamin kestabilan dan siapa yang paling meyakinkan untuk mentadbir negara,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, sikap ‘diva’ yang merasakan diri sentiasa betul boleh membawa padah kepada parti.
“Perangai yang saya gelar sebagai `diva’ yang sentiasa merasa diri betul ini bahaya, dan akan merosakkan parti sehingga mencetus perbalahan dalaman yang mengakibatkan perpecahan dalaman lebih kritikal,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment