BANGI, 21 RAMADAN – Polis Selangor memperoleh beberapa petunjuk positif dalam siasatan insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan seorang aktivis dikenali Cikgu Chandra di Taman Kinrara, Puchong.
Namun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Selepas taklimat pagi tadi, katanya terdapat beberapa petunjuk positif bagi kedua-dua kes terbabit.
“Namun, saya tidak boleh kongsikan kerana siasatan masih berlangsung. Kita akan memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.
Shazeli berkata, polis membuka kertas siasatan sejurus laporan dibuat dan tindakan awal diambil bagi mengenal pasti pihak terbabit.
Beliau memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak tanpa sebarang unsur penganiayaan.
Sementara itu, beliau menasihat masyarakat supaya menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi terutama yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).
Katanya, keadaan semasa yang hangat membabitkan isu agama dan kaum perlu dikawal bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.
“Saya gesa masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal dan meredakan situasi ini, termasuk rakan media supaya memainkan peranan dalam mengendurkan dan menurunkan suhu kehangatan isu-isu 3R,” katanya.
Beliau berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memainkan atau menyemarakkan isu 3R.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah aktivis itu di Taman Kinrara.
Suspek yang memakai topeng hitam memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira jam 3.20 pagi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol menyebabkan sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik lelaki itu musnah 100 peratus, manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran itu.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment