NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persinggahan Kapal Perang AS: Kesal Jawapan MENHAN, Mohon Ketegasan Malaysia

Oleh: Syahir Sulaiman

Merujuk kenyataan Menteri Pertahanan bahawa dua kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang berlabuh di Pulau Pinang telah mematuhi prosedur yang ditetapkan di Malaysia.

Menurut beliau, semua kapal tentera laut di seluruh dunia lazimnya singgah di pelabuhan bagi tujuan logistik sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Terdahulu pada 16 Mac, Setiausaha Agung PN telah menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran dua kapal perang tersebut, yang dilaporkan dikaitkan dengan tugasan di Selat Hormuz, menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan sebagai pemudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan yang berkait dengan konflik luar.

Penjelasan MENHAN bahawa persinggahan kapal perang ini telah mematuhi “prosedur yang ditetapkan” (New Straits Times, 17 Mac) adalah tidak memadai dan amat dikesali.

Kita sedia maklum bahawa sejak 28 Februari, AS terlibat dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran yang dipersoalkan dari sudut kesahihan serta kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa.

Tindakan Malaysia membenarkan kapal tentera AS berlabuh bagi tujuan logistik, difahamkan tiba pada 14 Mac dan meninggalkan pelabuhan pada 16 Mac (menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang), memberi gambaran bahawa Malaysia secara tidak langsung terlibat dalam ‘memfasilitasi’ keperluan operasi sebuah negara yang terlibat dalam kancah peperangan yang sedang berlangsung.

Perkara ini wajar diberi perhatian serius kerana berpotensi menjejaskan kredibiliti Malaysia dalam konflik Asia Barat yang semakin memuncak.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia diseru untuk:

1) Menggantung serta-merta kebenaran berlabuh bagi kapal tentera dari negara yang terlibat dalam peperangan serta pelanggaran aktif undang-undang antarabangsa;

2) Menyemak semula dengan segera semua dasar dan prosedur (SOP) berkaitan akses pelabuhan kepada tentera asing, selaras dengan prinsip berkecuali Malaysia; dan

3) Menuntut ketegasan yang tidak berbelah bahagi di pihak MINDEF, Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia dalam menangani konflik di Asia Barat yang menjejaskan prospek keamanan global dan keselamatan serantau.

Syahir Sulaiman
Ahli Parlimen Bachok
18 Mac 2026



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo