NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muslimat Tandatangan Memorandum Bantah Penghinaan Terhadap Al-quran

KUALA LUMPUR – Lebih 200 wanita Islam menandatangani memorandum bantahan keras bagi mendesak tindakan segera terhadap penganjur dan aktivis LGBTQ yang didakwa menghina serta mempersendakan ayat suci al-Quran ketika perarakan Hari Wanita Antarabangsa 2026 pada 8 Mac lalu.

Memorandum tersebut ditandatangani sempena Majlis Tadarus Quran dan Tausiyah bertajuk “Wanita Tiang Seri Peradaban: Memaknai 3 Kota Suci” yang berlangsung di Surau Taman Setapak Jaya, di sini, semalam dengan kehadiran muslimat dari pelbagai pertubuhan.

Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati) dan Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, insiden yang mencetuskan kemarahan itu didakwa berlaku semasa perarakan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang bergerak dari Kompleks SOGO menuju ke Dataran Merdeka, yang menurut para penandatangan telah melampaui batas kebebasan bersuara sehingga menyentuh sensitiviti agama.

Menurut mereka, tindakan tersebut bukan sahaja mencetuskan provokasi, malah turut melibatkan isu sensitif 3R iaitu agama, raja dan kaum yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.

Bibi Sunita berkata, tindakan segelintir penyokong LGBTQ yang didakwa menghina ayat suci al-Quran adalah perbuatan yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini.

“Perbuatan kurang ajar puak-puak penyokong LGBTQ yang kini berani menghina dan mempersenda ayat suci al-Quran secara sewenang-wenangnya ini tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh diterima oleh kami sebagai umat Islam di negara ini.

“Ini bukan lagi soal perbezaan pendapat, tetapi ia sudah menjadi satu penghinaan besar terhadap agama yang menjadi teras Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, memorandum berkenaan akan dikemukakan kepada beberapa pihak berkuasa utama termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ketua Polis Negara serta Menteri Dalam Negeri.

Tegasnya, antara tuntutan utama yang dikemukakan ialah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap pihak yang menganjurkan serta individu yang terlibat secara langsung dalam insiden berkenaan.

Selain itu, mereka turut menuntut tindakan undang-undang maksimum diambil terhadap pihak yang didapati bersalah termasuk di bawah Akta Hasutan dan undang-undang berkaitan kesalahan terhadap agama Islam serta sensitiviti 3R

Mereka turut menggesa Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis memperketat kawalan terhadap sebarang perarakan atau perhimpunan awam bagi memastikan ia tidak disusupi elemen yang boleh mencetuskan provokasi kaum serta menghina agama.

Dalam pada itu, Bibi Sunita berkata, hadirin yang memenuhi surau tersebut turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa menyalahgunakan ruang demokrasi untuk kepentingan golongan yang tidak menghormati kesucian agama Islam.

Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas dan segera bagi memastikan isu berkenaan tidak berlarutan sehingga menjejaskan perpaduan serta keharmonian masyarakat di negara ini. 

Sumber | MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo