KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Jangkaan pihak tertentu bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berpecah susulan krisis melanda parti berkenaan disifatkan sebagai dakwaan yang tidak benar.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggapan sedemikian timbul susulan beberapa perkembangan dalaman parti kebelakangan ini, namun tindakan segera telah diambil bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.
"Saya ingin menegaskan bahawa tidak tepat bagi mana-mana pihak meramalkan bahawa Bersatu sudah berpecah atau berubah. Jauh sekali.
"Saya membaca pandangan yang dibawa oleh sesetengah pihak yang membuat andaian sedemikian hanya kerana mereka mendengar perkembangan tertentu dalam Bersatu, sedangkan langkah-langkah telah diambil bagi menyelesaikan masalah yang timbul.
"Alhamdulillah, tindakan yang kita ambil bukan sahaja terhadap mereka yang melakukan kesalahan dari sudut politik dalam parti, malah kita juga melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan dalam Bersatu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Iftar Presiden Bersatu bersama pengamal media di Saloma Kuala Lumpur, Jalan Ampang pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin parti memecat Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana tindakannya yang didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Selepas Hamzah, 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama iaitu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Pada Selasa, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan digantung hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan.
Muhyiddin turut mengulas mengenai pembentukan Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) yang merupakan gabungan longgar melibatkan parti-parti politik tempatan.
Menurutnya, gabungan tersebut dilihat berpotensi menjadi satu pakatan lebih kukuh pada masa akan datang sekiranya kerjasama sedia ada dapat diperkasakan.
"Persoalan penting yang timbul ialah bagaimana peranan IPR apabila kita menghadapi pilihan raya. Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat kita.
"Walaupun ia dianggap sebagai gabungan longgar, kita telah bersetuju untuk menubuhkan sekretariat bersama supaya setiausaha agung parti-parti yang terlibat dapat duduk semeja dan merancang program bagi memperkukuhkan kedudukan IPR.
"Jika perkara ini dapat dilaksanakan, tidak mustahil satu gabungan parti politik yang lebih besar dapat terbentuk, malah mungkin lebih besar daripada Barisan Nasional pada masa lalu," ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment