Keputusan itu akan disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Lim Chong Fong, bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, pada pukul 9 pagi.
Rayuan ini membabitkan permohonan pesara Aminah Ahmad, yang memfailkan semakan kehakiman pada 12 Januari 2024 bagi pihak beliau sendiri dan 56 pesara lain, untuk mempercepat pelarasan pencen mengikut formula terkini dalam Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan 2013.
Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 16 Januari 2025 membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan kerajaan serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan. Namun, pembayaran ditangguhkan oleh mahkamah pada 4 Mac tahun lalu sementara menunggu keputusan rayuan kerajaan terhadap 531,976 pesara berjumlah RM1.7 bilion.
Skim lama membenarkan pencen disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam yang masih berkhidmat, manakala pindaan 2013 menetapkan kenaikan tetap 2 peratus setahun. Aminah pada awalnya tewas di Mahkamah Tinggi pada 2020, namun Mahkamah Rayuan memihak beliau, dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan itu pada 27 Jun 2023.
Rayuan kerajaan esok dijangka menentukan sama ada pelarasan pencen mengikut formula gaji akhir dapat dipercepatkan atau tidak, serta memberi impak kepada pembayaran tunggakan kepada ribuan pesara perkhidmatan awam.

No comments
Post a Comment