NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelantikan Ahmad Samsuri bentuk naratif baharu kepimpinan PN



PELANTIKAN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu menandakan satu fasa penting dalam penyusunan semula strategi blok pembangkang mendepani landskap politik Malaysia.

Menteri Besar Terengganu itu lazimnya dilihat sebagai figura berprofil sederhana dan kurang kontroversi, namun cukup berpengaruh dalam struktur organisasi parti.

Bukan itu sahaja, jika ditelusuri latar belakang pendidikan, kerjaya politik dan pencapaiannya selama ini, tidak hairanlah mengapa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN.

Cadangan tersebut dipersetujui parti anggota gabungan dan diumumkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN petang semalam di Ibu Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur.

Dalam konteks politik nasional yang semakin menuntut kredibiliti tadbir urus, pemilihan Naib Presiden Pas itu boleh ditafsirkan sebagai usaha memperkukuh persepsi bahawa PN mampu menawarkan kepimpinan berasaskan kecekapan.

Langkah sedemikian juga dilihat sebagai kesinambungan legasi kepimpinan terdahulu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma kali ini dengan pendekatan yang lebih segar.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, rata-rata pengguna platform terbabit beranggapan Ahmad Samsuri berpotensi menjadi wajah baharu gabungan itu, sekali gus pemimpin yang boleh merapatkan jurang antara penyokong konservatif dan pengundi muda profesional.

Keupayaan Ahmad Samsuri menguruskan negeri dengan rekod kestabilan pentadbiran mampu menjadi modal politik penting untuk meyakinkan pengundi bahawa beliau berupaya memimpin di peringkat nasional.

Namun, cabaran utama yang menanti beliau selepas ini mungkin berkaitan usaha menyatukan parti dalam gabungan serta menyelaras strategi bersama bagi mengelakkan percanggahan dalaman.

Secara keseluruhannya, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi bukan sekadar pertukaran jawatan, tetapi usaha membentuk naratif baharu kepimpinan PN yang diharapkan lebih positif.

Jika beliau berjaya memanfaatkan peluang yang diberikan, tidak mustahil peranannya mampu mencorakkan semula dinamik politik tanah air.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo