NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Misi kemanusiaan ‘Ramadan for Aceh’



BENCANA banjir besar yang melanda wilayah Aceh terus memberi kesan mendalam terhadap kehidupan penduduk setempat. Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Pidie Jaya.

Dalam usaha membantu komuniti yang terkesan, wakil Lajnah Kesihatan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah mengikuti satu misi kemanusiaan sempena Ramadan iaitu program ‘Ramadan for Aceh’. Misi ini melibatkan pengagihan bantuan barangan keperluan asas serta sumbangan kewangan kepada mangsa banjir.

Misi tersebut disertai oleh sukarelawan dari pelbagai NGO. Antara tujuan utama penyertaan dalam misi berkenaan adalah untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas, khususnya bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi bulan Ramadan.

Dianggarkan seramai 700 penerima telah menerima bantuan yang merangkumi keperluan harian serta sokongan kewangan bagi meringankan beban pasca bencana.

Selain aktiviti pengagihan bantuan, misi turut memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan psikososial mangsa. Program Psychological First Aid (PFA) telah dijalankan di lapangan bagi membantu individu terutamanya kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi dan reaksi trauma akibat bencana. Pendekatan ini bertujuan memberikan sokongan dan mengurangkan tekanan emosi mangsa bencana.

Penilaian kesihatan awam yang dijalankan sepanjang lawatan turut mendapati, walaupun bencana telah berlaku lebih dua bulan namun beberapa cabaran utama pascabencana, termasuk keadaan penempatan yang masih diliputi lumpur tebal, risiko pencemaran sumber air domestik, serta potensi peningkatan penyakit berjangkit dan penyakit bawaan vektor. Keadaan persekitaran yang terjejas menuntut tindakan segera dan bersepadu dari pelbagai agensi bagi memastikan keselamatan kesihatan komuniti.

Misi ‘Ramadan for Aceh’ juga dimanfaatkan sebagai platform kajian lapangan berkaitan pengurusan bencana, khususnya dalam memahami keperluan sebenar komuniti, keberkesanan respons bantuan, serta cabaran pemulihan pasca bencana yang luar biasa ini. Dapatan awal diharap dapat menyumbang kepada penambahbaikan strategi pengurusan bencana dan intervensi kesihatan awam pada masa hadapan.

Usaha berterusan pelbagai pihak, termasuk agensi kemanusiaan dan komuniti antarabangsa, dilihat amat penting dalam membantu penduduk Aceh bangkit semula. Bantuan yang disalurkan bukan sahaja memberi kelegaan dari sudut fizikal, malah turut memainkan peranan besar dalam menyokong kesejahteraan mental dan sosial mangsa untuk meneruskan survival kehidupan pasca bencana ini.

Marilah kita semua terus menghulurkan bantuan kepada saudara kita di Aceh dan berdoa kepada Allah SWT agar mereka dimudahkan urusan dan kuat untuk bangkit membina kehidupan yang lebih sejahtera untuk hari-hari mendatang.

DR ZULKIFLI MUHAMAD
Pengerusi Lajnah Kesihatan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY21/2/2026








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo