SHAH ALAM – Persefahaman dalam Perikatan Nasional (PN) merupakan teras utama bagi memperkukuh gabungan dan ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk pertikaian dalaman.
Sebaliknya, menurut Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, PN perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyatukan kekuatan, memperkukuh jentera, menyelaras strategi dan memberi keyakinan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Gerakan menyambut baik kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menekankan kepentingan perpaduan dalam PN, sambil menafikan dakwaan bahawa Pas mahu mengetepikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Dominic Lau berkata, kekuatan PN terletak pada kesatuan keempat-empat parti komponennya yang perlu bergerak seiring berlandaskan semangat muafakat, saling menghormati dan komitmen bersama.
Beliau menegaskan bahawa hanya melalui perpaduan yang kukuh antara semua parti dalam PN, gabungan itu mampu tampil sebagai satu alternatif berwibawa untuk menggantikan kerajaan Madani selain menawarkan sebuah kerajaan lebih stabil dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.
Pada Ahad, Abdul Hadi yang ditemui pemberita pada program Permukiman Pas menafikan dakwaan bahawa partinya berhasrat mengetepikan Muhyiddin dalam PN.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, sebaliknya Pas mahu meneruskan perpaduan dalam PN.
Menurut beliau, perkara berkaitan perpaduan itu turut disentuh dalam permukiman tahunan yang diadakan di Hotel Tenera di Bangi itu, namun tidak dibincangkan secara khusus.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment