KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan sokongan terbuka terhadap kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka daripada DAP, Khoo Poay Tiong yang menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Namun dalam nada pedas, Ahmad Fadhli menegaskan beliau hanya bersetuju dengan mesej utama supaya individu terlibat berundur, tetapi mempersoalkan bahagian kenyataan yang berbentuk ugutan politik terhadap kerajaan.
Menurut beliau, prinsip akauntabiliti perlu ditegakkan tanpa mengira parti, lebih-lebih lagi apabila isu tersebut menyentuh integriti institusi penguatkuasaan utama negara.
“Bab ni saya sokong Kota Melaka daripada DAP. Saya setuju part ‘he go’, cuma part ‘we go’, saya tak yakin, apapun syabas Kota Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas mengingatkan agar frasa ‘we go’ tidak dijadikan tekanan politik yang boleh mengheret keseluruhan kerajaan ke dalam polemik yang belum diperjelaskan sepenuhnya.
Beliau menegaskan, jika benar mahu mempertahankan prinsip integriti dan tatakelola, pendirian tersebut wajar konsisten dan bukan sekadar retorik ketika berdepan tekanan awam.
Terdahulu, Khoo Poay Tiong dalam perbahasan Dewan Rakyat mendesak Azam meletakkan jawatan susulan isu pemilikan 17.7 juta saham seperti didedahkan media antarabangsa.
“Saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas, Azam Baki perlu letak jawatan. Dia perlu pergi atau kita pergi. Itu adalah pesanan saya.
“Ini kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang, pengundi akan hukum kita.
“Saya harap masa bahasa saya tamat, tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), malah turut melabelkan SPRM sebagai ‘mafia korporat’ susulan dakwaan bersekongkol dengan unit siasatan badan itu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment