AMPANG JAYA - Tiada ruang diberikan buat mana-mana pemimpin serta ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya tahu merengek, merajuk dan merungut ketika parti memerlukan mereka, tegas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri itu berkata, sikap sedemikian yang dipamerkan tanpa henti tidak akan membantu dalam perjuangan parti.
Menurut beliau, PKR cuma memerlukan individu yang fokus dan sanggup bekerja keras untuk terus memperkukuh parti.
Jelasnya lagi, rakyat sudah memberikan mandat kepada PKR serta Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara, malah pemimpin juga tidak sewajarnya berbangga dengan kerusi serta gelaran yang diterima.
“PKR mesti ingat, fokus dalam kerja ini. Mandat ini satu amanah untuk bekerja. Sanggup bekerja, kekal, tak mahu kerja, keluar!
"Sanggup bekerja, tumpu membangun dan memperkuat parti, kekal. Berleter, merengek tak habis-habis boleh keluar kerana kerja kita masih banyak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua PKR Cabang Klang, Azmizam Zaman Huri dan ramai lagi.
Anwar berpendapat, tumpuan hari ini mesti diberikan kepada isu rakyat dan fokus tentang usaha membersihkan negara daripada jenayah rasuah.
Justeru, kata Ahli Parlimen Tambun tersebut, PKR terutamanya Selangor, dari peringkat negeri hingga ranting perlu bangkit sebagai satu angkatan bagi memperjuang isu besar sedemikian, bukan hanya pandai bising untuk perkara remeh-temeh.
"Hari ini kita isytihar bangkit dan bertempur pertahankan hak serta kebenaran! Semua yang ada harus bangkit sebagai satu angkatan, gilap semula semangat jitu.
"Jangan cakap banyak kalau ranting pun tidak ada, jangan bising kalau cabang pun lembab! Kalau betul mahu berjuang, jaga (hak)! Tempo saya pun dah lain sekarang, ingat main-main ke?
"Nampak macam kita berlembut sikit, dia nak hentam, kiri hentam, kanan hentam! Orang curi duit, dia diam. Berbilion ringgit disakau, diam. Benda titik bengik, (merengek) macam mak lampir saja!" ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment