KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan negara disifatkan belum mencapai tahap memuaskan sepanjang tahun lalu, dengan banyak isu hanya diselesaikan selepas dibangkitkan, manakala sebahagian lain masih belum ada penyelesaian.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, di peringkat pelaksanaan, sistem pendidikan negara masih ‘terperangkap’ dengan amalan lama dan fokus peningkatan kualiti pendidikan yang kurang menyakinkan.
Buktinya, kata beliau, keputusan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) sejak 2007 menunjukkan pencapaian Malaysia masih di bawah purata antarabangsa, dan tidak banyak meningkat sejak 15 tahun lalu.
“Ini isu besar kepada sistem pendidikan negara ini. Kita berhadapan dengan isu pelaksanaan pendidikan yang kurang berkesan.
“Itu sepatutnya menjadi fokus utama sistem pendidikan negara pada tahun 2026.
“Inilah perkara yang sepatutnya menjadi perhatian pihak kepimpinan pendidikan negara masa ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM berkata, isu salah laku dan pelanggaran moral murid serta masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja juga semakin kritikal.
Menurutnya, sangat jelas amalan, garis panduan dan aturan disiplin yang dilaksanakan melalui sistem pendidikan sekarang perlu kepada kerangka baharu.
Kata beliau, prosedur hukuman, kaunseling dan kerjasama ibu bapa dan guru-guru perlu kepada pendekatan yang lebih baik dan berkesan untuk mengurus isu salah laku murid-murid.
Dalam masa sama, ujarnya, pendidikan negara juga berdepan kemerosotan enrolmen murid aliran Sains Tulen (STEM A) yang mana minat murid terhadap pembelajaran Sains dan Matematik semakin tahun semakin merosot.
Tambahnya, kemerosotan murid aliran Sains Tulen itu akan memberi kesan langsung kepada penyediaan sumber manusia negara berkemahiran tinggi untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Tiga isu pendidikan ini sepatutnya menjadi fokus utama untuk dilibat urus dan dikongsikan kepada masyarakat.
“Lebih ramai yang berfikir dan berusaha untuk menyumbang idea dan tenaga adalah lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Anuar, 2026 pula sepatutnya menjadi tahun untuk benar-benar menjayakan kualiti pendidikan negara.
Jelasnya, sasaran perlu diletakkan untuk sistem pendidikan negara sekurang-kurangnya mesti berada di atas purata antarabangsa di dalam kedudukan PISA dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) akan datang. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment