NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syarikat berkait Farhash - FLC - kembali jadi tumpuan susulan turun naik saham




Saham dua syarikat yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR yang kini menjadi ahli perniagaan jutawan, Farhash Wafa Salvador, telah menyaksikan turun naik ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Perkembangan itu menarik perhatian pihak pengawal selia pasaran, sekaligus mengembalikan tumpuan terhadap bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu.

Pada 5 November, saham MMAG Holdings jatuh sebanyak 32% kepada 9.5 sen, paras terendah dalam hampir dua tahun sebelum menutup dagangan hari itu pada 10.5 sen.

Lebih daripada 260 juta saham bertukar tangan menjadikannya antara saham yang paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia minggu lalu.

Sebelum itu, pada 3 November, MMAG menjawab pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia dengan menyatakan bahawa syarikat itu tidak menyedari sebarang perkembangan atau penjelasan bagi turun naik ketara dalam harga sahamnya.

Dua hari kemudian, pada 7 November, Bursa Malaysia Securities mengeluarkan peringatan dagangan menyatakan bahawa aktiviti luar biasa tersebut berterusan sambil menasihati pelabur supaya “berhati-hati dan mempertimbangkan semua maklumat yang ada” sebelum membuat keputusan pelaburan.

Menjelang hujung minggu, MMAG telah kehilangan kira-kira 80% daripada nilainya, menutup dagangan pada 8.5 sen.

Setakat jam 10:22 pagi tadi, saham MMAG diniagakan pada 9.5 sen dengan modal pasaran sebanyak RM221 juta.

MMAG, yang terlibat dalam bidang logistik, e-dagang dan teknologi dipengerusikan oleh Farhash, yang juga merupakan pengarah bukan bebas.

Sementara itu, NexG Bhd, yang memegang kira-kira 9% saham dalam MMAG, turut mengalami penjualan besar-besaran dalam tempoh yang sama dan menerima pertanyaan UMA daripada Bursa Malaysia susulan beberapa siri kejatuhan harga.

Perkembangan itu di sebalik spekulasi yang bertiup kencang dalam kalangan pemerhati pasaran, mengenai siasatan terhadap seorang ahli perniagaan yang dituduh mengeluarkan dana daripada syarikat tersenarai awam.

Corporate Secrets, sebuah laman yang kerap membuat pendedahan mengenai urus niaga korporat dan kaitannya dengan politik, mendakwa lelaki itu kini sedang diburu pihak berkuasa dan dipercayai berada di luar negara.

MalaysiaNow belum dapat mengesahkan perkara itu, dan sedang cuba mendapatkan pengesahan dari polis.

Penyertaan dalam MMAG dan kaitan dengan NexG

Farhash menjadi pemegang saham terbesar MMAG pada Mac 2025 selepas memperoleh 462 juta saham atau 20%, bernilai RM184.8 juta.

Dilaporkan bahawa saham-saham tersebut telah dipindahkan di luar pasaran dalam empat peringkat pada harga 40 sen sesaham pada 26 Mac, kira-kira 65% di bawah harga pasaran MMAG iaitu 66 sen pada hari tersebut.

Pembelian itu, yang dibuat melalui Velocity Capital Sdn Bhd telah diumumkan secara rasmi kepada Bursa Malaysia pada 28 Mac.

Tidak lama selepas itu, NexG Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd meningkatkan pegangan dalam MMAG daripada 1.95% kepada 9.53% selepas membeli 175 juta saham daripada bekas pemegang saham utama, Chan Swee Ying, pada harga RM70 juta, juga pada 40 sen sesaham.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa, NexG menjelaskan bahawa langkah itu akan membolehkan syarikat tersebut menggabungkan kepakarannya dalam teknologi keselamatan dan ID dengan keupayaan logistik serta penerbangan MMAG.

Susulan itu, Farhash dilantik sebagai pengerusi MMAG, menggantikan bekas ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Pada tempoh yang sama, Khairul Adib muncul sebagai pemegang saham besar dalam NexG dengan pegangan 6.1%.

Kontrak kerajaan NexG

Pada Oktober 2025, NexG memperoleh kontrak bernilai RM732.72 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan kad pengenalan MyKad, MyTentera dan MyPoca kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kontrak selama enam tahun yang akan berjalan dari Jun 2026 hingga Mei 2032, diberikan kira-kira enam bulan selepas Farhash menjadi pemegang saham terbesar MMAG dan NexG menambah pegangan dalam syarikat itu.

Menurut NexG, projek tersebut melibatkan “MyKad generasi baharu” yang direka untuk meningkatkan keselamatan data dan menyokong integrasi dengan sistem kerajaan bagi pengagihan petrol dan subsidi.

Sebelum ini, NexG dianugerahkan satu lagi kontrak bernilai RM1.73 bilion daripada kementerian yang sama untuk membekalkan pasport Malaysia.

Walaupun penganugerahan kontrak baharu ini menjadi perbualan ramai, tiada sebarang penemuan salah laku atau pelanggaran peraturan dilaporkan.

Sejak Anwar diangkat sebagai perdana menteri pada November 2022, Farhash telah dilantik menduduki pelbagai jawatan tinggi dalam beberapa syarikat seperti sebuah firma pembrokeran saham, syarikat fintech, di samping rangkaian kedai runcit 7-Eleven yang merupakan sebahagian daripada empayar perniagaan jutawan Vincent Tan. 

Beliau meletak jawatan daripada 7-Eleven pada Mei 2025.

Entiti perniagaan yang dikaitkan dengannya, yang boleh digelarsebagai syarikat berkait Farhash (FLC) merangkumi bidang teknologi, kewangan dan logistik yang seiring dengan dorongan negara ke arah ekonomi digital.

Tahun lalu, Farhash berdepan kritikan di sebalik kegusaran mengenai hubungan antara perniagaan besar dan ahli politik kerajaan, selepas beliau memperoleh pegangan besar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk membangunkan sistem imigresen baharu bernilai berbilion ringgit.

Usahawan berusia 42 tahun itu muncul sebagai pemegang saham besar dalam HeiTech Padu Bhd dengan pegangan 15.91% melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

HeiTech Padu merupakan salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) bernilai RM1 bilion, bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Pembelian dalam HeiTech Padu dibuat hanya sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4% pegangan ekuiti dalam syarikat itu dengan nilai RM31.25 juta tunai pada 11 Mac 2024.

Pada hari yang sama, HeiTech Padu mengumumkan bahawa ia telah menerima lanjutan kontrak selama setahun bagi penyelenggaraan MyIMMs bernilai lebih RM13 juta.

Farhash menjelaskan bahawa Rosetta Partners ialah anak syarikat kepada Mfivesouthsea Sdn Bhd, yang dimiliki bersama oleh beliau dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pada Januari tahun ini, beliau dilantik sebagai pengerusi eksekutif Key Alliance Group Bhd, sebuah syarikat penyelesaian awan (Cloud) dan pusat data. Menjelang April 2025, pemfailan rasmi menunjukkan bahawa beliau telah menjadi pemegang saham besar dengan pegangan 5.55%.

Farhash kembali mendapat perhatian pada Julai 2025 selepas MalaysiaNow mendedahkan dokumen dan rakaman audio yang menunjukkan bagaimana Bumi Suria Sdn Bhd telah diberikan kelulusan lesen cari gali perlombongan seluas 70,000 hektar berhampiran sempadan Kalimantan, kawasan hampir tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur.

Kelulusan untuk Bumi Suria, syarikat yang dikawal oleh Farhash dan seorang individu lain, diberikan pada 21 Mei tahun lalu, hanya dua minggu selepas Farhash dan Aminuddin Mustapha mengambil alih kawalan syarikat tersebut.

Farhash menafikan laporan tersebut dan memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap MalaysiaNow dan editornya. Ia merupakan antara siri saman fitnah olehnya terhadap beberapa individu termasuk bekas pemimpin Umno Isham Jalil, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, dan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Pembelian pegangan 20% dalam MMAG Holdings oleh Farhash serta pelantikannya sebagai pengerusi syarikat membangkitkan semula kebimbangan tentang pelantikan berunsur politik dalam syarikat yang mendapat kontrak lumayan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, Anwar setakat ini menepis kebimbangan itu dengan alasan Farhash kini tidak lagi aktif dalam politik.


Sumber | MalaysiaNow











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo