TUARAN – Calon Barisan Nasional (BN) Alfian Sambas kekal komited dan tidak terganggu dengan cakap-cakap bahawa orang muda tidak boleh menawan Pantai Dalit.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Pantai Dalit menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini apabila ia menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.
Alfian yang dilihat sebagai calon ‘underdog’ berbanding lawan utamanya, Datuk Jasnih Daya yang disebut sebagai ‘heavyweight’ politik tempatan.
“Saya fokus berusaha untuk memastikan kerusi Pantai Dalit milik BN.
“Penyandang di sini (Jasnih Daya) dulu pun menang atas tiket BN, jadi saya perlu kembalikan kerusi ini kepada kami semula,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program bual bicara SKOP MG.
Meskipun calon baharu dan muda, Alfian menolak cara kempen fitnah dan memburukkan calon dan parti lawan.
Menurutnya, kempen seumpama itu boleh dielak untuk memastikan semua boleh berkempen positif.
“Saya melihat persaingan ini sebagai peluang terbaik untuk membuktikan kuasa suara anak muda dan pembaharuan yang dibawa oleh BN.
“Saya akui, ini adalah pertembungan yang sukar, namun pengundi Pantai Dalit kini mahukan perubahan dan wakil rakyat yang benar-benar boleh berkhidmat tanpa dibelenggu isu lama,” katanya.
Alfian berkata, kempennya lebih berfokus pada isu-isu akar umbi yang memerlukan penyelesaian segera, berbanding populariti peribadi.
Antara isu utama yang diangkat adalah kelembapan ekonomi belia, ketiadaan peluang pekerjaan yang berkualiti dan keperluan untuk meningkatkan infrastruktur asas.
“Sebagai anak jati Pantai Dalit, saya yakin memahami setiap denyut nadi penduduk setempat.
“Kami tidak membawa retorik kosong. Saya membawa kepakaran saya dalam bidang kewangan untuk mencari jalan bagaimana ekonomi mikro di sini boleh dipertingkatkan.
“Ini adalah masa untuk orang muda, yang faham cabaran hari ini mengambil alih kepimpinan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment