KUALA LUMPUR – UMNO ‘berharap’ MIC tidak membuat keputusan yang boleh merugikan masyarakatnya sendiri hanya kerana termakan tawaran politik pihak luar pada saat gabungan Barisan Nasional (BN) sedang berdepan cabaran besar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO dan BN sudah berulang kali mengadakan rundingan dengan MIC demi memastikan parti itu terus kekal dalam keluarga BN seperti mana yang terjalin selama puluhan tahun.
Beliau menegaskan, walaupun keadaan politik ketika ini tidak mudah, kesetiaan dan sejarah bersama seharusnya menjadi pertimbangan utama MIC sebelum membuat keputusan sama ada mahu kekal atau membentuk jajaran baharu dengan Perikatan Nasional (PN).
“Jangan hanya kerana tawaran tertentu yang tidak memberikan keuntungan kepada masyarakat kita, kita sanggup tinggalkan persahabatan lama.
“Mungkin kali ini kita sama-sama susah, tetapi kita juga boleh bangkit sama-sama,” katanya kepada media di Sandakan hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, UMNO akan mengatur pertemuan dengan pimpinan tertinggi MIC sebaik selesai PRN17 Sabah bagi membincangkan masa depan parti itu selepas MIC meluluskan resolusi memberi kuasa kepada pemimpin mereka mempertimbang keluar BN.
Beliau yakin MIC akan mengambil keputusan yang sewajarnya, termasuk menilai implikasi cadangan menjalin kerjasama baharu dengan PN.
Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan dilapor membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment