NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tajuddin Dakwa MIC Bakal Keluar BN November Ini


SHAH ALAM, 22 Okt — Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa parti MIC berhasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada bulan November depan.

Menurut Tajuddin, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan ketika sambutan perayaan Deepavali di kediamannya pada Isnin.

“Dia (Saravanan) beritahu saya bahawa MIC mungkin akan keluar daripada BN bulan depan. Saya tanya sebabnya, dan dia menyebut ada beberapa isu dalaman yang tidak dapat saya kongsi kerana ia sensitif,” katanya menerusi satu video dimuat naik di akaun TikTok miliknya pada Selasa.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen untuk kekal atau meninggalkan gabungan itu, dan keputusan tersebut adalah hak setiap parti.

Pada Ahad lalu, Saravanan dilaporkan berkata bahawa MIC akan memuktamadkan pendirian mengenai masa depannya dalam BN, termasuk mempertimbangkan pelawaan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), semasa Perhimpunan Agung MIC yang dijadualkan berlangsung pada November.

Tajuddin dalam pada itu berharap MIC dapat mempertimbangkan semula keputusan berkenaan memandangkan hubungan lama parti itu dengan BN.

“Kita sudah melalui pelbagai suka duka bersama dalam politik Malaysia. MIC banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat. Saya harap Saravanan diberi petunjuk untuk terus kekal bersama BN,” katanya.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo