KUALA LUMPUR: Permohonan bagi rayuan untuk mengerjakan ibadah haji bagi tahun 1447H/2026M akan dibuka bermula 3 November 2025.
Ketua Jabatan Haji TH Mohd Hisham Harun berkata, permohonan rayuan boleh dilakukan melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI.
“TH sentiasa komited dalam meletakkan kepentingan dan kebajikan bakal haji sebagai keutamaan.
“Atas dasar itu, TH membuka proses rayuan haji lebih awal bagi memberikan kemudahan kepada bakal haji untuk membuat persediaan yang lebih rapi serta memastikan proses permohonan rayuan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi permohonan rayuan luar giliran tahun haji semasa, Mohd Hisham menjelaskan terdapat beberapa kriteria yang akan diambil kira bagi proses pertimbangan merit pemohonan antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di dalam akaun TH serta kekerapan permohonan rayuan serta pernah mengikuti Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh TH.
Tambahnya permohonan rayuan mengerjakan haji terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM15,000 di dalam akaun TH masing-masing.
“Kadar bayaran haji yang ditetapkan kepada jemaah haji terpilih melalui proses rayuan adalah kos haji penuh, iaitu RM33,300 bagi musim haji 1447H/2026M selaras dengan konsep istitoah (kemampuan).
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH akan memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji untuk musim haji 1447H/2026M,” jelasnya.
Para pendeposit boleh melayari laman sesawang www.thijari.com.my atau menerusi aplikasi THiJARI bagi mendapatkan sebarang maklumat berhubung permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan.
“Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” tambahnya.–AlHijrah Online
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment