NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ISWAMI Pandang Serius Kesilapan Pengulas RTM Sebut Nama Presiden Indonesia

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) memandang serius insiden kesilapan pengulas siaran langsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam

Kesilapan itu berlaku apabila pengulas Radio Televisyen Malaysia (RTM) tersilap menyebut nama Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia yang terkini ialah Prabowo Subianto.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf atas kekhilafan berkenaan dan menegaskan bahawa langkah-langkah segera akan diambil bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.

ISWAMI dalam kenyataannya berkata, media di kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serumpun Malaysia-Indonesia, sejajar dengan tema Sidang Kemuncak ASEAN kali ini — “Keterangkuman dan Kemampanan.”

“ISWAMI yakin semua pihak berkaitan editorial akan terus memperkukuh kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat serta berintegriti,” menurut kenyataan itu.

Pertubuhan itu turut menyeru agar insiden tersebut dijadikan pengajaran kepada pengamal media supaya lebih berhati-hati, terutama ketika membuat liputan bagi acara rasmi peringkat antarabangsa yang melibatkan pemimpin tertinggi negara.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo