NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gelombang Dalaman Bersatu Kian Membara — Saifuddin Pula Desak Muhyiddin Undur, Dakwa “Sudah Hilang Kualiti Kepimpinan”

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin parah apabila Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, hari ini secara terbuka mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden parti, dengan mendakwa beliau sudah “kehilangan kualiti kepimpinan” yang pernah dihormati.

Saifuddin berkata, kepimpinan Muhyiddin kini tidak lagi mencerminkan nilai adab, ilmu dan kemahiran yang menjadi teras perjuangan Bersatu sewaktu awal penubuhannya.

“Pokoknya, dia (Muhyiddin) sudah hilang kualiti kepimpinan. Dia tidak lagi Tan Sri Muhyiddin yang kita kenal dulu,” katanya kepada Berita Harian, sambil mengesahkan kenyataan bersama telah dibuat bersama beberapa pemimpin lain.

“Parti tak bermesyuarat, pimpinan makin tertutup”

Saifuddin turut menyindir cara pengurusan Muhyiddin yang disifatkan semakin tertutup dan tidak inklusif, termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sejak beberapa bulan lalu.

“Dia tak panggil mesyuarat MPT, bagaimana nak bincang? Dia tak dapat cari menantu dia, bagaimana kita nak cari dia?” katanya dengan nada sinis.

Kenyataan itu sekaligus menambah tekanan kepada kepimpinan Bersatu yang kini berdepan siri usul dalaman daripada bahagian-bahagian negeri termasuk Dungun, yang turut menggesa Presiden “berehat sementara” dan menukar beberapa jawatan utama.

Azmin, Tun Faisal turut digesa berundur

Dalam nada sama, Saifuddin juga menggesa Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melepaskan jawatan masing-masing.

Katanya, Azmin perlu menyelesaikan dua isu besar — termasuk skandal lama yang masih dibangkitkan dan gaya kepimpinan yang dianggap “terlalu autokratik”.

“Azmin sekarang ini terlalu drakonian. Contohnya baru-baru ini dia keluarkan surat yang bersifat keras terhadap ahli, itu bukan cara demokrasi,” tegasnya.

Beliau turut menempelak Tun Faisal yang menurutnya gagal menjalankan fungsi sebagai Ketua Penerangan, sebaliknya lebih gemar berperanan sebagai ‘ketua provokasi’.

“Lihat sahaja posting dalaman dia, ramai ketua bahagian boleh sahkan — bukan penerangan, tapi provokasi,” katanya.

“Kami bukan hendak jatuhkan parti, tapi selamatkan”

Saifuddin menegaskan bahawa tindakan beliau dan kumpulan reformis dalam Bersatu bukan bertujuan melemahkan parti, sebaliknya sebagai langkah menyelamatkan maruah dan halatuju Bersatu daripada terus merosot akibat kepimpinan sedia ada.

“Kami bukan mahu mencemar parti, tapi mahu menyelamatkannya daripada mereka yang sedang mencemarkan parti,” katanya lagi.

Analisis: Isyarat retak makin ketara dalam Bersatu

Pemerhati politik melihat kenyataan Saifuddin sebagai tanda jelas keretakan dalaman Bersatu kini beralih daripada desas-desus kepada tindakan nyata.

Sebelum ini, Bahagian Bersatu Dungun juga membawa usul rasmi meminta Muhyiddin berehat dan menggantikan Azmin serta Tun Faisal, dengan alasan sama — parti kini kehilangan hala tuju dan keyakinan akar umbi.

Tindakan-tindakan ini muncul di tengah ketegangan hubungan antara Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN), menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah.

Beberapa penganalisis menjangka, perpecahan ini akan memberi kesan langsung terhadap kempen PN di negeri itu, terutama jika kelompok pro-Muhyiddin dan kumpulan pembaharuan terus bertelagah secara terbuka.

- 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo