![]() |
| Gambar tangkap layar menunjukkan askar Israel, Evyatar David, sedang menggali lubang di tanah, yang dikatakannya sebagai kubur sendiri sekiranya beliau mati akibat kebuluran. - Foto AGENSI |
GAZA: Video terbaharu yang disiarkan Briged al-Qassam mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat dan pemimpin Israel berhubung nasib askar-askar Israel yang ditawan.
Keluarga tawanan dan tebusan kini berkonflik dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menuntut perjanjian pertukaran baharu bagi membawa pulang anggota keluarga mereka.
Rakaman itu menggemparkan masyarakat Israel yang sebelum ini sudah biasa melihat kebuluran dalam kalangan penduduk Gaza, namun kini menyedari kesannya turut menimpa rakyat mereka yang ditawan.
Bekas tahanan, ahli keluarga tawanan, ahli politik dan diplomat menyuarakan rasa ngeri terhadap video berkenaan, selain mendesak Netanyahu segera memeterai perjanjian pembebasan semua tawanan.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, menyifatkan video memaparkan tentera Israel yang ditawan Hamas, Evyatar David, sebagai 'mengejutkan' dan menggambarkan kesan serius krisis makanan terhadap tahanan.
Laporan itu turut menyatakan video berkenaan dijangka memberi kesan besar kepada proses membuat keputusan peringkat tertinggi.
Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, berkata setiap ahli kerajaan mesti menonton video (Evyatar) malam ini dan cuba tidur sambil memikirkan bagaimana dia sedang berjuang untuk terus hidup di dalam terowong itu.
Rakaman itu disiarkan beberapa hari selepas panggilan kecemasan oleh seorang lagi askar Israel yang ditawan, kali ini oleh Briged al-Quds, sayap bersenjata Jihad Islam, yang merayu kerajaan Netanyahu menghantar makanan ke Gaza supaya dia dan rakan-rakan tawanan lain tidak mati kelaparan.
Briged al-Quds kemudian memaklumkan bahawa mereka telah terputus hubungan dengan kumpulan pengawal yang menjaga tawanan terbabit.
Askar itu, dikenali sebagai Rom Barslavsky, kelihatan menangis dalam keadaan lemah, menggeliat di atas katil sambil merayu meminta makanan dihantar sebelum beliau mati kelaparan.
"Saya berada di ambang maut dan hidup dalam neraka... tidak sihat. Kaki dan tangan saya sakit. Setiap kali saya cuba bangun untuk ke tandas, saya pening dan tumbang. Saya tidak boleh bernafas. Saya tidak mampu terus hidup begini.
"Dari pagi hingga malam, tiada apa-apa. Saya hanya makan tiga biji falafel sepanjang hari, atau kadangkala hanya sepinggan kecil nasi.
"Saya tidak makan. Saya tidak minum. Memang tiada makanan langsung di sini. Makanan terlalu terhad, kami hampir tidak dapat apa-apa," rintihnya.
Barslavsky, 22, dari Baitulmaqdis yang diduduki, menceritakan bahawa keadaan dirinya semakin merosot dan mendedahkan pengurangan ketara bekalan makanan yang diterima.
Beliau turut mengakui sudah menonton rakaman kanak-kanak Gaza yang kebuluran, mati kelaparan dan tinggal rangka serta tidak pernah lihat perkara seumpamanya sebelum ini.
Barslavsky turut merayu kepada kerajaan Israel dengan menyatakan apa yang berlaku itu tidak berperikemanusiaan.
"Ini penyeksaan, penyeksaan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah. Apa kesalahan mereka? Kenapa buat begini kepada mereka?
"Kalau pun bukan demi kanak-kanak Gaza, buatlah demi tawanan dan tebusan Israel di Gaza. Hantarlah makanan dan air. Saya merayu," katanya. - AGENSI
........Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment