Tulisan Jawi pernah menjadi nadi persuratan Melayu, daripada surat-surat diraja dan kitab keagamaan hinggalah akhbar awal abad ke-20.
Namun, peralihan dasar pendidikan dan pentadbiran pascakolonial menyebabkan tulisan rumi menjadi lebih dominan. Bagaimanapun, Jawi tidak pernah hilang sama sekali dan terus bergerak di antara ruang agama, seni, budaya popular dan kini menapak ke dalam dunia digital.
Persoalan penting sekarang ialah sejauh mana tulisan Jawi mampu bertahan pada dekad akan datang, sama ada hidup segan mati tak mahu seperti sekarang atau bangkit kembali dalam bentuk baharu.
Dalam bidang pendidikan, Jawi berada di kedudukan yang rumit. Selepas kontroversi pada 2019, kerajaan memperkenalkan pengajaran Jawi melalui pendekatan baharu yang lebih terhad, iaitu sekadar tiga halaman dalam buku teks Tahun 4 Bahasa Melayu. Tulisan ini tidak menjadi subjek peperiksaan, malah pelaksanaannya memerlukan persetujuan ibu-bapa di sekolah tertentu.
Perubahan itu meredakan sebahagian polemik, tetapi pada masa sama mengecilkan ruang literasi Jawi di sekolah kebangsaan. Ada kajian menunjukkan tahap penguasaan Jawi di beberapa sekolah daerah seperti Muar agak baik, namun kajian lain mendedahkan kelemahan ketara sehingga menjejaskan pengajaran Pendidikan Islam, memaksa guru terpaksa kembali kepada rumi sebagai jalan pintas. Keadaan ini memberi gambaran bercampur antara aspirasi dasar dan realiti di bilik darjah.
Dari sudut dasar bahasa, Jawi tidak pernah diletakkan sebagai milik eksklusif mana-mana kaum atau agama. Buku teks bahasa Melayu sebelum awal 1980-an misalnya membingkaikan Jawi sebagai sebahagian sistem Bahasa Kebangsaan.
Jawi khazanah bersama
Pengenalan semula Jawi pada 2019 sebenarnya cuba mengembalikan semangat tersebut, tetapi polemik politik menjadikannya seolah-olah milik kelompok tertentu. Hal ini memperlihatkan betapa pentingnya naratif untuk mengembalikan kefahaman bahawa Jawi adalah khazanah bersama.
Peranan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat penting dalam memastikan kelangsungan sistem ini. DBP telah menghasilkan Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan serta Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu yang menjadi asas konsistensi ejaan.
Di samping itu, kewujudan piawaian kebangsaan seperti MS 2443:2012 yang menetapkan set aksara Jawi untuk pemprosesan data telah membuka ruang bagi pembangunan aplikasi dan perisian berasaskan Jawi.
Namun begitu, kelemahan masih wujud, misalnya isu ketiadaan beberapa aksara seperti “hamzah three-quarter high” dalam Unicode, yang kemudian mendorong cadangan rasmi kepada konsortium antarabangsa ( badan global yang menyelaras piawaian aksara digital dunia).
Proses teknikal ini mungkin kedengaran kecil, tetapi ia amat penting bagi memastikan Jawi dapat berfungsi dengan lancar dalam ekosistem teknologi moden.
Di luar bilik darjah dan dokumen rasmi, inovasi dalam dunia digital memberi nafas baharu kepada Jawi. Usaha ahli akademik seperti Profesor Kang Kyoung Seok dari Korea Selatan yang membangunkan papan kekunci Jawi dan mengajar tulisan ini di negaranya menunjukkan nilai Jawi diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Di Malaysia pula, penyelidik mengusahakan pelbagai aplikasi termasuk penukar automatik Rumi-Jawi, pertuturan ke teks Jawi dan pembangunan korpus bahasa yang boleh digunakan dalam enjin carian serta sistem pengecaman aksara.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa Jawi tidak lagi boleh dianggap sekadar tulisan warisan, tetapi berpotensi menjadi objek kajian sains komputer dan teknologi linguistik yang hidup.
Dari sudut sosial, kajian terhadap generasi muda menunjukkan minat terhadap Jawi masih wujud, tetapi ia bergantung pada sejauh mana mereka terdedah kepada pembelajaran konsisten serta alat bantu digital yang mesra pengguna.
Apabila guru terpaksa berundur kepada rumi kerana kelemahan asas murid, semangat itu perlahan-lahan hilang. Namun, apabila wujud aplikasi dan bahan pembelajaran yang menarik, minat tersebut boleh dipupuk semula. Jurang ini memperlihatkan bahawa masa depan Jawi sangat bergantung pada pertemuan antara nilai identiti dan kemudahan pedagogi.
Cabaran tulisan Jawi
Cabaran besar Jawi ialah bagaimana ia dikeluarkan daripada perang budaya yang sering memerangkapkan. Jika terus dipersepsikan sebagai isu politik atau agama, ruang pertumbuhan akan mengecil. Namun jika dibingkaikan semula sebagai aset linguistik yang memperkaya Bahasa Kebangsaan, potensi Jawi untuk berkembang lebih cerah.
Malah, tokoh bahasa tempatan sering mengangkat hakikat bahawa bahasa Melayu ialah satu-satunya bahasa moden di dunia yang masih berfungsi dengan dua sistem tulisan. Keunikan ini sepatutnya menjadi kebanggaan, bukan bahan pertelagahan.
Hala tuju masa depan Jawi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sebenarnya terletak kepada beberapa aspek asas.
Ini termasuk usaha memperkukuhkan standard ejaan dan piawaian digital yang mesti diperkemaskan agar semua pihak, daripada guru hingga pembangun aplikasi, mempunyai rujukan jelas. Begitu juga dengan masalah teknikal seperti kekangan Unicode perlu diselesaikan agar tiada lagi halangan untuk menggunakan Jawi di mana-mana platform digital.
Selain itu, alat bantu pembelajaran yang mudah digunakan perlu dibangunkan secara meluas supaya guru dan murid tidak terbeban. Penggunaan Jawi perlu diperluaskan ke ruang sosial, budaya dan kreatif seperti seni visual, papan tanda atau reka bentuk, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian.
Naratif juga perlu diperkuatkan bahawa Jawi bukan milik orang Melayu, tetapi semua rakyat Malaysia. Pada masa sama, peluang pengantarabangsaan perlu dimanfaatkan, seperti kerjasama akademik yang pernah ditunjukkan oleh sarjana luar negara.
Masa depan tulisan Jawi tidak ditentukan oleh polemik politik semata-mata, tetapi oleh sejauh mana diperkasakan melalui standard, teknologi dan naratif kebangsaan yang inklusif.
Malaysia sudah mempunyai pedoman ejaan yang jelas, piawaian aksara kebangsaan dan aliran penyelidikan yang berkembang. Hanya tinggal kesungguhan untuk menjadikan Jawi bukan sekadar warisan yang dipertahankan, tetapi alat yang digunakan dalam kehidupan seharian.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment