KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2025 — Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) mencadangkan agar kuota penduduk Bumiputera di ibu negara dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 (RSKL 2040) dinaikkan kepada 70 peratus, berbanding sasaran semasa yang ditetapkan pada 40 peratus.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata sasaran 40 peratus itu sudah tidak relevan dan tidak mencerminkan realiti komposisi kaum di peringkat nasional. Menurut beliau, statistik tahun 2024 menunjukkan Bumiputera membentuk 69.9 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia, justeru kuota 40 peratus adalah terlalu rendah dan berisiko menyingkirkan sebahagian besar masyarakat Bumiputera daripada pusat bandar.
“Adalah tidak logik untuk menetapkan kuota serendah itu sedangkan peratusan Bumiputera di negara ini jauh lebih tinggi. Jika ini diteruskan, baki 29.9 peratus Bumiputera akan terkeluar daripada bandar raya Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap trend pembaharuan bandar tanpa kawalan yang boleh menyebabkan harga hartanah melambung tinggi dan tidak mampu dimiliki oleh Bumiputera. Ini, katanya, boleh menurunkan lagi peratusan penduduk Bumiputera di Kuala Lumpur sekiranya tiada langkah pembetulan dilakukan.
REACH berpendapat komposisi penduduk ibu negara perlu mencerminkan komposisi kaum negara secara keseluruhan sebagai satu langkah ke arah integrasi nasional dan penghapusan segregasi kaum berdasarkan tempat tinggal, sebagaimana yang diusahakan kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969.
“Tanpa kuota ini, majoriti Bumiputera akan terus menghuni di pinggir bandar dan luar bandar, manakala bukan Bumiputera akan menguasai kawasan bandar. Ini bukan satu senario yang sihat untuk perpaduan negara,” tegas Iskandar.
REACH turut menggesa agar parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili Bumiputera Islam tampil bersuara menyokong cadangan ini dan tidak hanya bertindak apabila keadaan telah menjadi parah.
“Jangan hanya bersuara apabila nasi telah menjadi bubur,” katanya lagi.
........
Komen: ........| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment