KUALA LUMPUR – Tiada sesiapa pun termasuk penjawat awam boleh dihalang untuk bergerak atau berhimpun, malah mana-mana pihak yang melarang perkara itu tanpa sebab munasabah boleh dianggap melanggar undang-undang.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, penjawat awam juga berikrar untuk setia kepada raja dan negara, yang bermaksud kumpulan itu bertanggungjawab mempertahankan negara dan Perlembagaan.
Jelas beliau, perkhidmatan awam juga adalah milik rakyat, bukannya milik mana-mana individu.
“Cuma Perdana Menteri yang dihadapannya dibaca ikrar akan berubah. Tapi kesetiaan masih sama. Raja dan Negara serta undang-undang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Ini kerana, kata Shamsul Azri, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.
Sementara itu, Muhammad Rafique berkata, sebagai orang lama dalam perkhidmatan awam, Shamsul Azri tidak perlu panik, sebaliknya memahami berkenaan ikrar penjawat awam tersebut.
Jelas beliau, Shamsul Azri juga bermula dari bawah sebelum dinaikkan ke pangkat lebih tinggi dan sepanjang perkhidmatannya, Perdana Menteri berubah-ubah, namun perkhidmatan awam tetap kekal.
“Maka kalau setia pada Raja dan Negara, masa untuk selamatkan negara adalah pada 26.07.2025. Tempatnya Dataran Merdeka. Masanya adalah 2.00 petang.
“Selamatkan negara juga kesetiaan pada raja dan undang-undang.
“Pada semua penjawat awam, anda rakyat juga seperti kami dan lihat permasalahan yang sama,” katanya.
Pas sebelum ini menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment