Shafee Abdullah berkata, peguam negara sudah pasti akan mengarahkan pegawainya mengemukakan laporan polis atas dakwaan palsu di mahkamah.
“Laporan polis sudah tentu akan dibuat terhadap Najib, saksi-saksi beliau serta saya sendiri jika dakwaan itu tidak benar,” kata Shafee di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Malaya Hasnah Hashim.
Peguam negara dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 pada 6 Jan lalu, yang membenarkan permohonan Najib mengemukakan keterangan tambahan serta mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar semakan kehakimannya.
Najib memohon kerajaan melaksanakan perintah terkandung dalam adendum berkenaan.
Hakim Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah juga mendengar rayuan tersebut.
Shafee berhujah bahawa Peguam Negara Dusuki Mokhtar, pada sebelah pagi tadi telah mengakui kewujudan adendum itu, namun beliau hanya mempertikaikan ketulenan dan kesahihannya.
“Saya berharap panel hakim dapat membuat inferens dan mengambil maklum kehakiman berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, Najib mendapat maklumat berkait kewujudan titah adendum itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pada awal Februari tahun lalu, bahawa hukuman penjara 12 tahun terhadapnya dikurangkan separuh, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
“Kami menghantar surat kepada peguam negara ketika itu (Ahmad Terrirudin Saleh), dan bukan kepada ketua pengarah penjara kerana peguam negara mempunyai kuasa memberikan nasihat undang-undang bagi melaksanakan perintah dalam adendum berkenaan,” katanya.
Shafee berkata, Najib telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi; menteri undang-undang dan reformasi institusi; Jabatan Penjara; Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan; serta ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri bagi meminta pengesahan berhubung kewujudan addendum itu.
“Semua surat dihantar tidak dijawab langsung dan tiada sebarang maklumat diberikan,” katanya sambil menolak hujah Dusuki yang mendakwa Najib tidak segera berusaha berkomunikasi dengan Istana Negara atau Istana Pahang berhubung titah adendum.
Katanya, Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada April lalu dan bergantung kepada afidavit difailkan Zahid serta Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, berdasarkan apa yang mereka baca menerusi telefon bimbit Tengku Zafrul Aziz.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran berkenaan pada Julai lalu atas alasan afidavit dikemukakan bagi menyokong permohonan Najib merupakan keterangan dengar cakap.
Anak Najib, Nizar, telah memfailkan satu afidavit sebelum prosiding di Mahkamah Rayuan bagi menyokong permohonan bapanya untuk turut mengemukakan keterangan baharu, yang kemudiannya dibenarkan mahkamah itu.
Shafee berkata, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, telah memaklumkan kepada Nizar mengenai kewujudan adendum tersebut pada awal 4 Ogos tahun lalu, namun tidak menzahirkan hasrat memberikan salinan adendum.
“Pada Disember tahun lalu, beliau diberikan salinan adendum tersebut untuk digunakan di mahkamah. Beliau segera mengikrarkan satu afidavit bagi pihak Najib untuk mengemukakan keterangan baharu di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berkait kes SRC International Sdn Bhd.
Pendengaran bersambung 9 Julai.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment