Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata, alasan penghakiman mahkamah itu perlu dikaji untuk melihat sama ada pindaan berkaitan keperluan memberikan notis kepada pihak berkuasa juga wajar dibuat.
“Langkah ini wajar bagi memastikan akta tersebut selari dengan prinsip-prinsip Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, kesemua siasatan yang sedang dijalankan terhadap mana-mana individu bawah Seksyen 9(5) juga wajar digugurkan serta-merta, katanya.
Beliau turut menggesa pendakwa raya menarik balik pendakwaan ke atas semua tertuduh bawah seksyen tersebut.
“Undang-undang yang diputuskan tidak sah oleh mahkamah tidak wajar dikuatkuasakan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan langkah menjenayahkan kegagalan memaklumkan polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman bercanggah dengan Perlembagaan.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 mengenakan hukuman melebihi had dibenarkan bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Katanya, seksyen itu ‘campur tangan yang tidak seimbang’ dan merupakan larangan, bukannya sekatan hak itu.
Keputusan itu hasil cabaran perlembagaan dikemukakan bekas setiausaha agung Muda Amir Hadi, yang didakwa pada 2022 kerana gagal memberi notis lima hari kepada polis sebelum menganjurkan protes di luar pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Syahredzan berkata, keputusan tersebut menjernihkan kedudukan undang-undang selepas dua penghakiman ‘bercanggah’ berkait seksyen sama membabitkan Nik Nazmi Nik Ahmad dan R Yuneswaran, masing-masing pada 2014 dan 2015, di Mahkamah Rayuan.
“Mahkamah memutuskan Seksyen 9(5) tidak mengikut perlembagaan dalam kes Nik Nazmi, namun panel lain sebaliknya memutuskan ia sah dalam kes Yuneswaran.
“Terdapat dua keputusan berlainan dan sehingga keputusan hari ini, tidak ada penentuan yang konklusif oleh Mahkamah Persekutuan mengenai perkara ini,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment