Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, buluh tidaklah mahal berbanding ‘rail’, selain ia menjadi landskap menarik dan boleh menjadi penahan.
“Ada juga orang cadang buat tembok tanah untuk dijadikan sebagai tebing. Tetapi seperti yang dicadangkan kemarin, ada ‘spot’ atau lokasi tertentu yang boleh kita tanam buluh sebagai ‘guardrail’ dan ada juga yang perlu kita letakkan ‘guardrail’,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Fasa 7, Pembangunan Rumah Teres Satu Setengah Tingkat di Mutiara Bandar Puteri Jaya, di sini, hari ini.
Cadangan tersebut juga ujarnya dikemukakan berdasarkan keupayaan kewangan semasa serta keperluan di setiap kawasan terlibat.
Dalam masa yang sama, tegasnya, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan.
“Timbalan Perdana Menteri pun dah buat aku janji untuk bantu sediakan peruntukan bagi mengadakan ‘guardrail’ dan lampu jalan,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria bersama JKR, turun meninjau keadaan fizikal jalan raya di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya, Selasa lalu.
Hasil tinjauan tersebut, beberapa cadangan awal dikemukakan oleh pihak JKR sebagai langkah segera untuk menambah baik aspek keselamatan, antaranya pemasangan penghadang jalan bagi mengelakkan kenderaan terbabas ke dalam sungai.
Selain itu pemasangan lampu jalan bagi meningkatkan pencahayaan pada waktu malam, penambahan paku jalan pemantul cahaya untuk panduan pemandu dalam keadaan gelap.
Pada kejadian Isnin lalu, enam beranak, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi,31, bersama empat orang anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan, ditemui mati lemas di Sungai Korok.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah saudaranya, di Taman Sri Aman, Jitra, kira-kira pada jam 5.30 pagi pada Sabtu, 5 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 10/7/2025
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment