NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sampai sekarang UMNO tidak nyatakan sebab penggantungan saya – Maulizan



KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang menyuarakan kekecewaannya terhadap tindakan parti yang menggantung keahliannya selama enam tahun tanpa sebarang penjelasan atau proses keadilan sewajarnya.

Beliau berkata, sejak digantung pada Januari 2023, sehingga ke hari ini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada UMNO yang menyatakan sebab penggantungan tersebut.

“Saya sebenarnya kekal dengan prinsip saya sebelum ini dan senada dengan apa dinyatakan Datuk Seri Hishammuddin Hussein – kami tidak dipanggil untuk membela diri, tidak diberi surat tunjuk sebab dan penggantungan kami tidak melalui proses Lembaga Disiplin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maulizan turut menyifatkan dia dan beberapa individu lain yang senasib seperti “digantung tanpa tali” kerana tidak mengetahui punca sebenar penggantungan keahlian mereka.

“Bayangkan dah lebih 800 hari sejak digantung, kami masih tak tahu apa kesalahan kami,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO seperti dilaporkan sebuah laman portal yang mempersoalkan mengapa tiada rayuan dikemukakan oleh individu yang digantung.

“Yelah, kami digantung tanpa tahu punca, lepas tu macam mana nak merayu? Nak rayu atas dasar apa, fakta apa? Takkan semuanya hearsay sahaja?” soalnya.

Maulizan turut membangkitkan persoalan logik dalam proses rayuan, apabila individu yang digantung tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan.

“Contohlah kalau kami tulis surat rayuan, nak tulis apa? Kesalahan hingga digantung pun kami tak tahu, jadi, nak tulis apa? Adakah kami nak tulis, ‘kami dengan ini mengemukakan rayuan kepada kepimpinan parti untuk menarik balik penggantungan kerana kesalahan yang kami sendiri tak tahu’? Macam itu ke?” katanya sinis.

Tambahnya, prinsip keadilan sepatutnya ditegakkan melalui proses yang adil dan telus, termasuklah memanggil individu untuk memberi penjelasan serta melalui Lembaga Disiplin parti.

“Saya pun kecewa juga kerana pelbagai fitnah dilemparkan oleh pihak tertentu untuk menggambarkan kesalahan yang tidak pernah saya lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maulizan turut mempersoalkan waktu penggantungan keahlian yang dibuat menjelang pemilihan parti, sesuatu yang disifatkannya sebagai mencurigakan.

Terdahulu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyatakan pendirian tidak akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahlian kerana mendakwa tidak pernah diberikan peluang untuk membela diri. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo