KUALA LUMPUR – Warga kota meletakkan harapan tinggi terhadap pengumuman mengejut dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan akan dibuat esok, atau selewat-lewatnya Selasa ini.
Rata-rata rakyat yang ditemui menaruh harapan pengumuman yang akan dibuat nanti benar-benar membawa manfaat terutama dalam membantu mereka menangani tekanan kos sara hidup.
Orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman mengakui mereka memang ternanti-nantikan ‘kejutan’ luar biasa yang bakal diumumkan nanti.
Seorang pekerja, Muhammad Farhan Mohd Fauzi, 27 berkata, sebagai individu yang menantikan pengumuman tersebut berharap ia merupakan bentuk pertolongan konkrit seperti bantuan kewangan dan penurunan cukai.
“Sebagai rakyat, saya mahu manfaat yang akan diumumkan nanti biarlah sampai kepada semua golongan, contohnya, penurunan cukai atau peningkatan gaji penjawat awam.
“Sekiranya pengumuman itu melibatkan kenaikan taraf gaji seperti yang pernah disebut kerajaan sebelum ini, saya harap ia akan memberi kesan langsung kepada taraf hidup rakyat, termasuk golongan M40 yang sering terpinggir daripada skim bantuan.
“Kalau ada bantuan, jangan beri pada satu kelas sahaja, tapi kepada M40 juga,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengumuman yang masih menjadi tanda tanya kebanyakan rakyat, Farhan menambah, rakyat tidak meminta sesuatu yang luar biasa, sebaliknya mengharapkan dasar yang adil dan seimbang, selaras dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Harapan sama turut dizahirkan oleh Ahmad Syakir Abbas, 35, yang mengharapkan bantuan sara hidup yang adil dan saksama kepada rakyat memandangkan tekanan ekonomi semakin dirasai.
“Sekarang rakyat memang tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Jadi, saya harap ada bantuan menyeluruh, mungkin melibatkan SST atau bentuk sokongan lain untuk golongan yang kurang mampu,” katanya.
Ahmad Syakir berkata, walaupun cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikembalikan untuk menambah hasil negara, kesan rantaian terhadap harga barangan harian masih dirasai oleh rakyat terutama keluarga berpendapatan sederhana.
Bagaimanapun, kata beliau, banyak bantuan kerajaan hari ini masih bersifat bersasar kepada B40.
Padahal, pada masa sama, ramai dalam kalangan M40 juga bergelut dengan tekanan yang sama namun terlepas pandang kerana tidak layak memohon.
“Saya tidak meletakkan jangkaan yang spesifik asalkan kejutan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
“Asalkan ada yang boleh kurangkan beban bulanan. Bantuan tunai ke, potongan bil elektrik ke, semua itu amat membantu. Rakyat bukan nak mewah, cukup sekadar mampu hidup dengan tenang,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Syahirah Putri Balqis Khakim, 18, yang juga bakal memulakan pengajian tidak lama lagi, dia mengharapkan kerajaan tidak melupakan bantuan kepada golongan pelajar yang mahu meneruskan pendidikan.
“Mungkin boleh memberikan lebih banyak bantuan kewangan atau laptop kepada pelajar yang kurang mampu. Itu sangat membantu untuk belajar,” katanya.
Tambahnya, keperluan pelajar bukan hanya terhad kepada yuran pengajian semata-mata, tetapi turut melibatkan kos sara hidup di kampus seperti sewa, pengangkutan, makanan, dan kemudahan pembelajaran digital yang kini menjadi keperluan asas dalam sistem pendidikan tinggi.
“Walaupun terdapat bantuan sedia ada seperti Baucar Buku, MyTablet dan dermasiswa oleh kerajaan negeri atau agensi zakat, ia masih tidak mencukupi terutamanya bagi pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana.
“Sebenarnya isi rumah dari keluarga M40 juga berdepan dengan masalah kewangan akibat tekanan kos sara hidup,” jelasnya.
Selain itu, Syahirah turut menyuarakan harapan agar kadar gaji minimum dinaikkan, terutamanya kepada pekerja muda yang baru mula membina kerjaya selepas tamat pengajian.
Sebelum ini, perdana menteri memberi bayangan satu pengumuman besar akan dibuat dalam masa terdekat dengan menyifatkan ia sebagai “penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.”
Beliau memaklumkan pasukan Kementerian Kewangan kini sedang memperhalusi perkara itu agar kesannya benar-benar sampai kepada rakyat.
Hantaran misteri Perdana Menteri sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi, dan rata-rata rakyat kini menanti dengan penuh debar, mengharapkan sesuatu yang benar-benar meringankan beban kehidupan harian mereka. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment