KUALA LUMPUR – Cadangan melonggarkan hak pemilikan asing dalam sektor tertentu negara bukan langkah terbaik untuk mengurangkan tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), kata Hak Konsumer Sejahtera (HAKS).
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Shahir Adnan berkata, langkah itu bukan sahaja boleh menjejaskan struktur ekonomi negara, malah turut memberi kesan terhadap kedaulatan serta daya saing industri tempatan.
Hal ini kerana pemilikan asing berkemungkinan hanya akan tertumpu di kawasan maju seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Ini secara tidak langsung akan meningkatkan jurang pembangunan antara negeri dan meminggirkan negeri-negeri lain.
“Pembangunan negeri bukan lagi menjadi matlamat. Sebaliknya, keuntungan besar akan menjadi fokus utama syarikat luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kehilangan kawalan negara ke atas industri strategik sekiranya sektor penting seperti tenaga, pertanian dan telekomunikasi dibuka kepada pemilikan asing.
“Malaysia mungkin perlu mengubah struktur ekonomi bagi menyesuaikan diri dengan dasar korporat asing, dan bukan lagi berpaksikan kepentingan nasional,” ujarnya.
Dalam masa sama, Shahir berkata, syarikat tempatan turut berisiko gulung tikar jika gagal bersaing dengan firma asing yang memiliki modal besar serta teknologi canggih.
“Kami mencadangkan supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meneliti cadangan penurunan tarif Malaysia terhadap produk tertentu dari AS sebagai langkah rundingan timbal balik (reciprocal agreement).
“Langkah ini boleh menjadi asas kepada ‘trade-off’ atau tawar-menawar balas agar AS turut mempertimbangkan pengurangan tarif mereka terhadap Malaysia.
“Apabila produk AS menjadi lebih murah, kuasa beli rakyat akan meningkat tanpa perlu menggadai pemilikan ekonomi negara kepada pihak luar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa MITI agar memperhalusi segala cadangan dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment