KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberikan kerjasama sewajarnya terhadap himpunan yang ditunjangi parti Pas pada Sabtu ini agar dapat dibantu tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pendirian Kerajaan Madani adalah jelas dan konsisten bagi merayakan demokrasi.
Katanya, hak untuk bersuara termasuk daripada pihak yang menentang Kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil.
“Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas malah dihormati. Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan termasuk menerusi demonstrasi awam tidak akan disekat secara membuta tuli.
“Sebaliknya ia dianggap sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang selagi ia tidak melanggar undang-undang dan tidak mengancam keselamatan awam.,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Facebook hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mengambil maklum mengenai kempen dan perhimpunan Turun Anwar yang dirancang oleh pembangkang itu.
Jelasnya, sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan semangat reformasi, Perdana Menteri menitipkan pesanan agar demonstrasi atau perhimpunan berkenaan berlangsung secara aman dan tertib.
“Marilah kita terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang dan sikap yang bertanggungjawab.
“Kerajaan Madani berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqomah.
“Kita merancang, Allah Taala juga merancang, Allah Taalalah sebaik-baik perancang dan maha penentu segalanya,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan polis menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 orang akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada Sabtu ini .
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dipetik berkata, pihak penganjur sudah membuat pemakluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Katanya, seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment