IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak menyatakan bantahan tegas atas pelantikan Ahli Parlimen Batu Gajah yang juga pimpinan DAP, V Sivakumar, sebagai salah seorang ahli Friends of Ministry (FOM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti dilaporkan media.
Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Hafez Sabri mempersoalkan kayu ukur yang digunakan oleh pihak KPM untuk melantik seseorang ahli sebagai anggota FOM kementerian berkaitan.
“Adakah pelantikan dibuat berdasarkan merit kelayakan atau FOM ini sekali lagi menjadi wadah lantikan politik untuk melampiaskan nafsu politik pimpinan kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, FOM KPM berperanan sebagai platform untuk membolehkan ahlinya menyumbang idea, pandangan dan tindakan ke arah memperkukuh dasar serta sistem pendidikan negara.
Katanya, individu yang dilantik juga akan bekerjasama dengan kementerian dan pemegang taruh lain untuk membawa perubahan yang lebih relevan, inklusif dan berkesan terhadap pendidikan negara.
“Atas sebab itu, Pemuda PAS Perak menegaskan bantahan pelantikan V Sivakumar atas beberapa faktor yang konkrit,” tegasnya.
Beliau berkata, faktor pertama ialah integriti kerana V Sivakumar masih terpalit dengan kes rasuah melibatkan pegawai kanan kementerian ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri di Kementerian Sumber Manusia.
“Media melaporkan pada 27 Jun 2023 bahawa pihak SPRM telah menyerahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya namun sehingga Julai 2025 masih tidak ada apa-apa tindakan dilaporkan,” dedahnya.
Faktor kedua, jelasnya, ialah kelayakan kerana V Sivakumar bukanlah individu paling layak untuk menjadi ahli FOM KPM.
“Negara mempunyai tokoh-tokoh teknokrat yang lebih layak serta individu daripada latar belakang pendidikan yang lebih sesuai untuk menjalankan peranan penting sebagai anggota FOM KPM termasuklah dalam kalangan masyarakat India,” kupasnya.
Ustaz Mohd Hafez berkata, faktor ketiga ialah lantikan politik kerana pelantikan itu menjadi bukti pelanggaran janji manifesto Pakatan Harapan yang beriltizam untuk menghapuskan budaya lantikan politik dalam kerajaan.
“Justeru, Pemuda PAS Perak sekali lagi menyatakan penegasan membantah pelantikan V Sivakumar sebagai anggota FOM KPM dan mendesak agar pelantikan tersebut ditarik semula serta-merta oleh kementerian untuk maslahah rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment