NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH letak janji reformasi institusi dalam manifesto tapi gagal tunaikan – Dominic



KUALA LUMPUR – Datuk Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menunjukkan keikhlasan dan komitmen melaksanakan agenda reformasi institusi seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, setelah dua tahun setengah mentadbir negara, Kerajaan Madani tidak menunjukkan sebarang tindakan konkrit dalam pelaksanaan reformasi sebaliknya terus berdolak-dalik dengan pelbagai alasan.

“Jika benar Perdana Menteri ikhlas mahu melaksanakan reformasi, beliau sepatutnya sudah mengumumkan jadual pelaksanaan serta menunjukkan keberanian politik dan iltizam yang jelas.

“Tapi apa yang kita lihat hanyalah retorik tanpa tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic menyifatkan pentadbiran Anwar sebagai “NATO” atau No Action, Talk Only kerana menurutnya kerajaan hanya menggunakan isu reformasi untuk meraih sokongan tetapi takut melaksanakannya kerana bimbang kehilangan kuasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengakuan Anwar baru-baru ini mengenai kekurangan konsensus dan sokongan institusi jelas menunjukkan kebimbangan sebenar Perdana Menteri adalah terhadap kedudukan peribadinya yang mungkin tergugat jika reformasi dilaksanakan.

“Inilah kebimbangan sebenar Anwar. Beliau tidak layak lagi bercakap soal reformasi kerana reformasi yang dicanangnya hanyalah ‘gula-gula’ untuk menipu pengundi,” katanya.

Dominic turut membidas sikap Anwar yang menurutnya hanya menonjolkan imej sebagai ‘wira rakyat’ di mata umum sedangkan realitinya beliau lebih banyak menghabiskan masa dengan lawatan luar negara, manakala hutang negara terus meningkat dan pelaksanaan reformasi berjalan amat perlahan.

Katanya, reformasi sepatutnya dilihat melalui dasar yang dilaksanakan namun sehingga kini tiada sebarang jadual atau pelan jelas yang diumumkan oleh kerajaan.

“Setiap kali rakyat mula mempertikaikan prestasi kerajaan, alasan kekangan pentadbiran dan reformasi akan digunakan sebagai perisai,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati Anwar agar berpegang pada prinsip “emas sejati tidak takut diuji dengan api” dan melaksanakan reformasi dengan berani sekiranya benar-benar yakin ia adalah demi kebaikan negara.

“Bertindak ragu-ragu dan tidak berani mengambil tindakan sebenar hanyalah lakonan semata-mata. Ia bukan reformasi, tetapi alasan untuk terus mengekalkan kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo