NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan diminta kaji semula cadangan Akaun 2 KWSP bayar insurans kesihatan



PETALING JAYA:
 Cadangan kerajaan untuk membenarkan penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai premium insurans kesihatan wajar dikaji semula memandangkan sudah ada skim pengeluaran bagi tujuan itu, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata untuk cadangan terbaru itu kerajaan perlu menetapkan had atau nisbah bagi membiayai premium insurans kesihatan kerana sebahagiannya mungkin boleh dibiayai oleh duit poket sendiri atau sebahagian daripada akaun fleksibel.

“Dalam kerangka yang lebih besar, kebergantungan kepada dana KWSP oleh ahli bagi menghadapi permasalahan mereka sebelum mencapai umur persaraan adalah sesuatu yang agak membimbangkan.

“Amalan gaya hidup sihat juga boleh menyumbang kepada penularan masalah kesihatan seperti serangan jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi. Justeru, perlu ada keseimbangan dalam pendekatan hal ini bagi memastikan kehidupan rakyat kekal sejahtera,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menjelaskan cadangan membenarkan Akaun 2 KWSP untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan hanya melibatkan 1% daripada simpanan dan dilaksanakan secara sukarela.

Dzulkefly berkata, cadangan itu juga mengambil inspirasi daripada model negara seperti Singapura yang mengutamakan akses insurans untuk majoriti rakyat.

Penjelasan itu susulan beliau mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan itu yang dijangka memberi manfaat kepada 16 juta pencarum KWSP.

Katanya, 32% daripada kos penjagaan kesihatan di Malaysia ketika ini ditanggung sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans.

Ketika ini KWSP membenarkan pengeluaran sebahagian daripada Akaun Sejahtera atau Akaun 2 untuk menampung kos perubatan bagi penyakit yang diluluskan, peralatan kesihatan, dan rawatan kesuburan.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School yang senada dengan Afzanizam berkata, kerajaan perlu menambah pilihan dalam skim i-Lindung bagi pencarum mendapatkan perlindungan lebih luas.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan mekanisme baru untuk menilai permohonan oleh mana-mana syarikat insurans yang ingin menaikkan kadar premium atas alasan tertentu.

“Jika syarikat insurans meletakkan alasan kenaikan kos tetapi masih mencatatkan keuntungan tinggi, maka kenaikan kadar bayaran insurans tidak patut dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah UniKL Business School, Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata cadangan tersebut dilihat sebagai langkah adil memandangkan pengeluaran sedia ada hanya terhad kepada 15 jenis penyakit yang diluluskan panel KWSP.

“Dengan kelulusan ini ia akan dapat membantu pencarum juga untuk membeli perlindungan takaful lebih luas lagi jenisnya, begitu juga untuk menangani kos perubatan yang meningkat perbelanjaannya.

“Pencarum juga dapat menggunakannya untuk mengurangkan pembayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang membenarkan pemotongan melalui perlindungan insurans dan takaful. Ini dikira kebaikan kepada golongan M40 terutama yang mendapat kurang bantuan berbanding B40,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo