![]() |
KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa telah gagal menangani isu sebenar dalam insiden kemalangan maut yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Kegagalan itu terutamanya daripada sudut penambahbaikan seperti penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, kata Presiden Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (7PMKL), Hussen Zulkarai.
Beliau kecewa kerana sudah masuk hari keenam sejak insiden menyayat hati seluruh rakyat negara ini namun tiada tindakan proaktif sebaliknya lebih banyak menuding jari.
Kata Hussen, penyelesaian yang diumumkan kerajaan dilihat tidak memberi kesan langsung terhadap punca sebenar kemalangan.
“Kerajaan umum hendak batal lesen dan permit pemandu bas, tapi ini tidak beri kesan kepada syarikat. Mereka boleh upah pemandu dari syarikat lain. Masalah utama kekerapan kemalangan meragut puluhan rakyat akibat kemalangan seumpama terus berlaku saban hari perlu penyelesaian secepat mungkin.
“Pemasangan 385 lampu jalan bertenaga solar oleh kerajaan juga hanya langkah sampingan dan tidak menjawab persoalan keselamatan penumpang di dalam kenderaan awam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini
Beliau turut mempersoalkan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkenaan pengumpulan data pemandu.
“Data pemandu ini untuk apa? Masalah sebenar bukan data tapi sikap manusia itu sendiri. Kalau pemandu ada 20 atau 30 saman tapi bukan saman berat tetap dia masih bawa kenderaan awam.
“Adakah dengan data seumpama ini boleh menghentikan kemalangan maut akibat kecuaian? Kita juga tertanya-tanya,” ujarnya.
Beliau juga menyentuh langkah terbaharu kerajaan yang mewajibkan semua kenderaan berat menggunakan pengehad kelajuan (SLD) tetapi menegaskan bahawa penyelesaian sebenar masih belum dicapai.
“SLD ini betul, tapi siapa yang akan tengok pemandu patuh atau tidak? Adakah menteri sendiri turun tengok pemandu itu? Kita tidak pasti.
“Kerajaan sepatutnya tampil dengan mekanisme menyemak tahap kesiapsiagaan pemandu sebelum perjalanan, daripada aspek kesihatan, kesegaran mental hingga kelayakan umur dan fizikal untuk membawa kenderaan berat.
“Sebelum pemandu pegang stereng, dia perlu dipastikan benar-benar layak. Siapa yang semak? Siapa yang bertanggungjawab?, setahu saya tidak ada lagi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hussen juga mencadangkan agar setiap bas awam dilengkapi satu skrin paparan seperti televisyen yang menunjukkan kelajuan semasa secara langsung kepada penumpang.
“Paparkan kelajuan secara live. Bila penumpang nampak bas dipandu laju, mereka boleh buat rakaman sebagai bukti jika berlaku kecuaian. Kalau malam pun, bunyi amaran boleh dipasang jika had kelajuan dilanggar.
“Pada skrin itu juga dipaparkan juga paparan maklumat seperti nombor plat, nama dan gambar pemandu serta syarikat pengendali bagi memudahkan aduan pada masa itu juga,” ujarnya.
Namun beliau kesal kerana sering kali pandangan rakyat tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa.
“Bila rakyat beri cadangan, selalu ditolak. Semua nak rujuk golongan bijak pandai sendiri. Orang awam salah, kerajaan saja yang betul. Sampai mati pun mereka saja betul. Jadi tolonglah, dengarlah pandangan kita.
“Kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan, perlu menyemak semula dasar serta pelaksanaan sedia ada secara serius dan holistik bukan hanya menyalahkan syarikat atau mengeluarkan amaran tanpa tindakan konkrit.
“Kita minta kerajaan nilai semula semua arahan yang dikeluarkan. Tanya semula, adakah itu benar-benar satu penyelesaian untuk lindungi nyawa penumpang yang dianggap manusia, bukan sekadar muatan?” soalnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment