MELAKA – PKR masih menaruh harapan kepada dua menteri dari parti itu yang meletakkan jawatan sebelum ini untuk kembali menyertai saf Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau berharap rajuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak berpanjangan.
“Itu (merajuk) biasa dalam pemilihan kadang-kadang bila kita kalah, kita marah tapi kemarahan itu tentunya tidak dibawa ke mana-mana dan seharusnya kita berfikir secara munasabah untuk melakukan perubahan di dalam negara ini.
“Jadi saya harapkan kedua-dua tokoh ini yang besar semangatnya kepada parti dapat memikirkan semula keputusan itu dan kalau mereka patah balik untuk pimpin (Kabinet) itu tentunya lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Beg Sekolah Kepada Murid-murid B40 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keh Seng, Bukit Baru di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri berkata, beliau masih memberi masa kepada dua menteri itu untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
Anwar menegaskan, beliau mahu Rafizi dan Nik Nazmi menyertai semula Kabinetnya walaupun sudah menerima surat peletakan jawatan dua tokoh itu namun beliau masih belum meluluskannya.
Mengulas lanjut, Shamsul yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa PKR berkata, beliau memahami perasaan dihadapi dua tokoh itu yang masih mempunyai peranan kepada PKR.
“Datuk Seri Rafizi misalnya, masih lagi Ketua Keadilan Pandan dan beliau merupakan Ahli Parlimen dan saya juga baca berita beliau nampak konsisten tapi saya fikir segala pertikaian yang timbul itu boleh dibawa ke meja rundingan.
“Ini juga telah dinyatakan sendiri Perdana Menteri jadi tidak perlulah mereka keluar daripada Kabinet dan saya juga yakin dengan kebijaksanaan mereka untuk membuat pertimbangan yang baik,” katanya
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing yang gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan parti bulan lalu mengumumkan peletakan jawatan dalam Kabinet pada 28 Mei lalu.
Peletakan jawatan Rafizi yang tewas kepada Nurul Izzah Anwar berkuat kuasa dari 17 Jun ini dan ketika ini beliau sedang menghabiskan cuti tahunan sehingga 16 Jun.
Manakala peletakan jawatan Nik Nazmi pula bermula 4 Julai Dan sedang bercuti sehingga 3 Julai ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment