NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk serah dokumen 1932, minta pejabat tanah siasat status Kampung Sungai Baru

Penduduk Kampung Sungai Baru ditemani aktivis dan peguam di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan permohonan menyiasat status tanah.


Penduduk Kampung Sungai Baru hari ini secara rasmi menuntut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menjalankan siasatan terhadap status tanah milik mereka, dengan menyerahkan dokumen yang membuktikan status kawasan itu sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Lebih 40 penduduk dan pemilik tanah diketuai Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias dan ditemani penasihat, Muzaffar Razman serta peguam N Surendran, hadir di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan permohonan dua orang pemilik tanah kawasan itu.

Mereka turut ditemani peguam lain dari kumpulan Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan Zaid Malek, di samping aktivis Rafidah Ibrahim.

Dokumen yang diserahkan kepada Timbalan Pengarah Tanah dan Galian, Anuar Isa, merupakan warta bertarikh 1932, di mana ia bercanggah dengan dakwaan beberapa menteri dan pemimpin kerajaan bahawa tanah tersebut berstatus pajakan (leasehold) 99 tahun.

"Tanah mereka belum diambil, tetapi mereka merupakan penduduk di Kampung Sungai Baru, dan mereka hendak menegakkan hak mereka terhadap tanah itu sebagai tanah rizab. Sebab itu kita minta supaya satu siasatan diadakan oleh pentadbir tanah," kata Surendran.

Sebelum ini, Surendran menggesa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan menyelesaikan masalah pengambilan tanah penduduk Kampung Sungai Baru, bermula dengan mengiktiraf bahawa tanah tersebut terletak di bawah status MAS, yang menjadikannya sebahagian daripada Tanah Rizab Melayu.

Merujuk kepada Warta No 1550 bertarikh 16 Februari 1932, Surendran sekali lagi mengulangi pendirian bahawa tanah MAS merangkumi seluruh Kampung Sungai Baru, dan status itu masih tidak dibatalkan.

Zainab berkata sekiranya siasatan PTG mendapati tanah Kampung Sungai Baru berstatus MAS, kesemua tanah yang diambil alih perlu dikembalikan kepada penduduk dan kawasan yang dirobohkan dibangunkan semula.

Sementara itu, Latheefa menggesa ahli politik dan kerajaan supaya berhenti menuding jari terhadap penduduk.

Menurutnya, adalah tidak benar penduduk menolak pembangunan, sebaliknya penduduk hanya menuntut hak mereka.

"Kita minta, dengar tuntutan mereka. Jangan bagi alasan lain kononnya mereka ini menolak kemajuan untuk orang Melayu," kata Latheefa, yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Turut hadir menyatakan sokongan kepada penduduk hari ini ialah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali.

Ibrahim mengingatkan Anwar untuk menggunakan kuasanya menyelesaikan kemelut Kampung Sungai Baru.

"Mesej saya kepada Anwar: kalau kamu tidak selesai masalah Kampung Sungai Baru ini, kamu adalah pengkhianat kepada orang Melayu," katanya, sambil menambah penduduk layak mendapatkan pampasan bernilai RM3,000 sekaki persegi berdasarkan harga pasaran.

"Semuanya di tangan Anwar Ibrahim, perdana menteri. Satu tandatangan beliau boleh menyelesaikan semuanya. Jadi Anwar, buktikan kamu perdana menteri rakyat, yang kamu tidak mengkhianati dan menzalimi, malah mengambil berat masa depan orang Melayu di Kampung Baru," kata Ibrahim.

Kampung Sungai Baru menjadi perhatian selepas berlaku tarik tali antara pemaju dan penduduk yang enggan berpindah.

Mereka enggan menerima pampasan daripada pemaju dan membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.



Sumber | MalaysiaNow 














........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo