NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH, GPS digesa usahakan mansuh Akta Kemajuan Petroleum

Premier Sarawak Abang Johari Openg sebelum ini berkata, negeri itu berhasrat menuntut haknya untuk meneroka gas di kawasan luar pesisir dan di pelantar benua. 



PETALING JAYA
Seorang tokoh pembangkang Sarawak menggesa DAP dan PKR berusaha memansuhkan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) di Parlimen, bukan cuba menentukan keperlembagaan undang-undang itu di mahkamah, seperti yang dicadangkan oleh seorang pemimpin dalam gabungan pemerintah.

Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai kerajaan negeri semasa juga harus berusaha mencapai matlamat sama, bukan sekadar ‘berteriak dari luar’ mengenai hak negeri mengeksploitasi rizab minyak dan gas.

Semalam dilaporkan Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen digesa mencabar kesahihan undang-undang tersebut di mahkamah, demi mempertahankan hak Sarawak.

Hilary Lim daripada SUPP, parti komponen GPS, menggesa DAP Sarawak agar memulakan tindakan di mahkamah, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan.

Bagaimanapun, Voon berkata, tuntutan di mahkamah sensitif dari segi politik dan ekonomi, dan hakim mungkin tidak membuat keputusan menentang kerajaan.

Beliau berkata, Parlimen adalah satu-satunya jalan ‘untuk meredakan kekacauan berpunca daripada politik tidak berkesudahan mengenai perkara itu’.

Tambahnya, memandangkan undang-undang itu diluluskan oleh badan perundangan persekutuan, ia juga harus dimansuhkan olehnya supaya Sabah dan Sarawak mendapat semula hak mereka ke atas sumber minyak dan gas.

“Memandangkan DAP dan PKR sekutu dalam Pakatan Harapan (PH), dan menjadi tonggak kerajaan Madani, mereka harus berusaha memansuhkan undang-undang itu,” kata Voon, lapor Dayak Daily.

PDA yang diluluskan oleh Parlimen pada 1974 memberi Petronas hak eksklusif untuk mengeksploitasi rizab petroleum di darat dan luar pesisir, serta menjalankan kegiatan hiliran.

Menurut Sarawak, ia mengekalkan haknya untuk mengeksploitasi rizab petroleumnya bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang mengatasi PDA. Negeri itu juga mengenakan cukai jualan negeri terhadap Petronas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bulan lepas, kerajaan persekutuan dan negeri telah mengiktiraf PDA sebagai undang-undang persekutuan, dan bersetuju bahawa Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua kewajipan kontrak sedia ada.

Premier Sarawak Abang Johari Openg kemudian berkata, negeri itu juga berhasrat menuntut haknya untuk meneroka gas di kawasan luar pesisir dan di pelantar benua.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo