NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PSM letak calon tanding PRK Ayer Kuning




SHAH ALAM - Parti Sosiais Malaysia (PSM) akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan diadakan pada 26 April depan.

Timbalan Pengerusinya, S Arutchelvan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa parti yang bersidang pada 21 Mac lalu selepas mengambil kira permohonan PSM Perak.

"Meletakkan calon alternatif ketiga dalam pertarungan antara dua gabungan gergasi sememangnya satu keputusan yang sukar kerana sistem pengundian 'first past the post' akan memberi kelebihan kepada dua parti utama yang bertanding.

"Mengambil kira kekangan ini, PSM telah membuat keputusan berani untuk bertanding berdasarkan lima faktor yang diambil kira antaranya DUN berkenaan merupakan kawasan yang pernah ditandingi parti dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dan merupakan kawasan yang parti telah melakukan kerja-kerja akar umbi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebagai rekod, PSM pernah mempertaruhkan calon Bawani KS bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning namun tewas selepas hanya memperoleh 586 undi berbanding penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mendapat 9,088 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Dalam pada itu Arutchelvan menjelaskan, penglibatan PSM dalam PRK berkenaan penting untuk membawa naratif kelas dan bukan naratif kaum dalam minda rakyat.

Menurutnya, parti itu tentunya akan mengetengahkan isu-isu rakyat sebenar yang jauh lebih penting seperti isu kos hidup, perkhidmatan kesihatan, pekerja dan petani, alam sekitar, masalah masyarakat orang asli serta rakyat.

"DUN Perak memerlukan suara dan jurucakap baharu untuk mengetengahkan isu-isu serius yang melanda negeri ini antaranya pemusnahan hutan, pengurusan banjir, dasar perumahan dan hak sektor masyarakat terpinggir dalam naratif perdebatan dalam DUN.

"PSM akan mengumumkan calon pada 8 April depan ketika melancarkan bilik gerakan utama untuk PRK Ayer Kuning selain akan mendapatkan pandangan dan sokongan daripada parti-parti alternatif yang beraspirasi sama," ujarnya.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

KPKM jamin bekalan telur ayam mencukupi



SHAH ALAM – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di negara ini kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bekerjasama erat dengan syarikat tempatan untuk memastikan tahap pengeluaran harian berada pada paras stabil dan memuaskan.

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari ladang hingga ke pengguna akhir bagi menjamin kestabilan bekalan.

"Langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara.

"Kerajaan Malaysia melalui KPKM kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mohamad Sabu dilaporkan mendakwa terdapat kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan menyeludup bekalan telur tempatan ke Amerika Syarikat (AS) susulan kenaikan harga telur di negara tersebut akibat kekurangan bekalan.

Menurutnya, kemungkinan itu tidak dapat ditolak memandangkan AS sebelum ini pernah meminta bantuan Malaysia untuk mengeksport telur ayam ke negara berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak membuat spekulasi tidak berasas dan merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi kementerian.

"KPKM akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin," ujarnya.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Terengganu diramal alami banjir bermula esok



KUALA TERENGGANU – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir bagi negeri Terengganu berikutan hujan berterusan yang dijangka berlaku.

Menurut kenyataan dikeluarkan jam 2 petang, banjir dijangka melanda beberapa daerah di negeri itu bermula 23 hingga 24 Mac ini.

Antara kawasan yang berisiko tinggi termasuk daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang, dan Setiu.

Berdasarkan laporan, sistem sungai utama seperti Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Terengganu, Sungai Ibai dan Sungai Kemaman berisiko melimpah jika hujan lebat berterusan berlaku.

"PRABN menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan diperlukan.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan amaran semasa melalui laman web rasmi Public Info Banjir di http://publicinfobanjir.water.gov.my/ atau Facebook PublicInfoBanjir," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, berdasarkan ramalan awal banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), beberapa kawasan di Terengganu dikenal pasti berisiko tinggi mengalami banjir pada tarikh tersebut.

Daerah Besut melibatkan Lembangan Sungai Besut (Alor Kenak, Sungai Darau, Sungai Gerong, Sungai Jerteh, Sungai Kenak, Sungai Keruak, Sungai La, Sungai Lampu, Sungai Mata Air, Sungai Pelagat, Sungai Tapong), Lembangan Sungai Keluang (Sungai Limau, Sungai Renek, Sungai Tembila, Sungai Tok Dor).

Daerah Dungun di Lembangan Sungai Abang (Sungai Jara), Lembangan Sungai Dungun (Sungai Ceniah, Sungai Dungun, Sungai Gombang, Sungai Jagung, Sungai Jengai, Sungai Keliu, Sungai Rekam, Sungai Wa), Lembangan Sungai Paka dan Lembangan Sungai Sura.

Daerah Hulu Terengganu melibatkan Lembangan Sungai Terengganu (Sungai Telemong, Sungai Berang, Sungai Penih, Sungai Terengganu, Sungai Tersat, Sungai Tepis, Sungai Udang, Sungai Lalang, Sungai Jenaris, Sungai Hulu Sat, Sungai Peng, Sungai Marang, Sungai Binjai), Lembangan Sungai Marang melibatkan (Sungai Ajil, Sungai Marang).

Sementara itu, bagi daerah Kemaman pula melibatkan Lembangan Sungai Kemaman (Sungai Air Jernih, Sungai Cerul, Sungai Cukai, Sungai Jabor, Sungai Kemaman, Sungai Ruang, Sungai Mak Lagam, Sungai Pinang, Sungai Limbong, Sungai Ruang, Sungai Tebak, Sungai Yak Yah), Lembangan Sungai Kemasik (Sungai Kemasik, Sungai Sekilir, Sungai Tumpat), Lembangan Sungai Kertih (Sungai Labohan, Sungai Cabang, Sungai Kertih, Sungai Ranggong), Lembangan Sungai Kijal (Sungai Kijal, Sungai Penunjuk).

Di daerah Kuala Terengganu, Lembangan Sungai Terengganu (Sungai Buaya, Sungai Nerus, Sungai Takir, Sungai Tepoh, Sungai Terengganu, Sungai Tok Jiring, Sungai Kepong) dan Lembangan Sungai Ibai (Sungai Boko, Sungai Ibai)

Daerah Marang lembangan di Sungai Ibai (Sungai Buaya, Sungai Udang), Lembangan Sungai Marang (Sungai Asing, Sungai Cador, Sungai Gali, Sungai Kerak, Sungai Kijing, Sungai Kubu, Sungai Marang, Sungai Merchang,Sungai Paya Debek, Sungai Rinting, Sungai Temala), Lembangan Sungai Merchang (Sungai Asing, Sungai Kerengga, Sungai Tok Fakir).

Bagi daerah Setiu pula melibatkan Lembangan Sungai Nerus (Sungai Pelong), Lembangan Sungai Terengganu (Sungai Nerus, Sungai Tong, Sungai Tukar), Lembangan Sungai Setiu (Sungai Chalok, Sungai Guntung, Sungai Lanjut)

"JPS mengingatkan bahawa banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang diramalkan, bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

"Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya berwaspada dan bersedia untuk sebarang kemungkinan," kata kenyataan itu.


Sumber | Sinar Harian














........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

'DAP jangan campur tangan jawatan PM' - Noh



KUALA SELANGOR - DAP diingatkan supaya tidak campur tangan dalam isu berkaitan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri yang dicadang dihadkan kepada 10 tahun.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan itu perlu dibincangkan dengan lebih mendalam kerana boleh memberi kesan kepada dasar dan pembangunan negara.

“Bagi saya, DAP tak perlu kecoh tentang isu ini, walaupun memang benar dalam Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan bahawa Perdana Menteri mesti orang Melayu.

"Tetapi berdasarkan konvensyen dan menghormati kontrak sosial, jawatan itu seharusnya hak orang Melayu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media semasa Majlis Sumbangan Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang di Taman Desa Mawar Sungai Yu di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noh turut mencadangkan sekiranya Perlembagaan dipinda untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, ia juga perlu menetapkan bahawa jawatan itu mestilah dipegang seorang Melayu beragama Islam.

“Ambil contoh negeri Selangor, dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor disebut bahawa Menteri Besar mestilah Melayu Islam.

"Mungkin ketika menggubal Perlembagaan Malaysia dulu, perkara ini terlepas pandang, tetapi ia adalah sesuatu yang penting,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri merupakan hak orang Melayu tanpa mengira parti mana yang mereka wakili.

“Kalau benar nak buat pindaan, biarlah adil. Jangan hanya hadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, tetapi pastikan juga jawatan itu dipegang oleh Melayu Islam.

"Isu ini sensitif, saya ingat DAP tak perlu nak mengajarlah bagaimana orang Melayu nak memerintah negara kita," kata beliau.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, kerajaan sedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau menegaskan, proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga ahli Parlimen.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Peguam bidas Anwar teruskan majlis pecah tanah 'Masjid Madani' sedangkan rundingan dengan kuil belum selesai



Seorang peguam mempertikaikan kenyataan Anwar Ibrahim mengenai kontroversi melibatkan sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun, yang kini berdepan tekanan pihak berkuasa dan sekumpulan ahli politik kerajaan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid yang bakal dinamakan sempena slogan politik "Madani" yang dipromosikan perdana menteri.

Zaid Malek dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty mengecam sikap Anwar yang dilihat tergesa-gesa untuk meneruskan majlis pecah tanah bagi cadangan pembinaan Masjid Madani, serta pendiriannya bahawa kuil tersebut perlu dipindahkan.

Menurutnya, perdana menteri tidak seharusnya mendahului sebarang keputusan ketika perbincangan melibatkan pemilik tanah, Jakel Trading, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ahli jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India masih berterusan.

"Mengapa Anwar tergesa-gesa mahu melakukan upacara pecah tanah pada 27 Mac sedangkan perbincangan antara kuil dan DBKL masih berjalan? Mengapa Anwar tidak bersedia memberi ruang dan masa yang diperlukan untuk proses itu berjalan?" soal Zaid.

"Ia bukanlah rundingan apabila satu pihak tidak diberi pilihan. Anwar tidak ada hak mengabaikan proses ini dan memutuskan perkara itu secara unilateral."

Ia di sebalik laporan bahawa Jakel terbuka kepada idea yang dikemukakan oleh beberapa aktivis, termasuk Zaid, bahawa masjid yang dicadangkan itu boleh dibina bersebelahan kuil tersebut sebagai meraikan simbol keharmonian Malaysia.

Portal dalam talian Scoop memetik sumber sebagai berkata bahawa Jakel, yang membeli tanah itu daripada DBKL beberapa tahun selepas pihak berkuasa membenarkan kuil itu didirikan di sana, kini mempertimbangkan cadangan membina masjidnya di plot bersebelahan tanpa menjejaskan kuil sedia ada.

Zaid berkata Anwar menunjukkan "kejahilan serius mengenai sejarah, fakta dan keadaan" dalam isu apabila mendakwa kuil itu dibina secara haram.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman pada asalnya dibina pada 1893. Pada tahun 2008, ia diarahkan DBKL untuk berpindah ke lot sekarang.

Bagaimanapun, tanah kerajaan itu menjadi hak milik Jakel pada 2014 selepas DBKL menjualnya kepada syarikat tekstil itu.

Jawatankuasa kuil berkata ia tidak dimaklumkan mengenai penjualan itu, dan tidak juga ditawarkan membeli tanah itu.

"Dalam erti kata lain, kerajaanlah yang meminta kuil itu membina strukturnya di atas tanah yang ada sekarang. Oleh itu, adalah tidak jujur ​​bagi Anwar untuk mengatakan kuil itu dibina tanpa kebenaran," kata Zaid.

Beliau berkata tanah itu bukan milik persendirian ketika kuil itu diminta berpindah ke sana pada 2008, iaitu enam tahun sebelum dijual kepada Jakel.

"Bagaimanakah ia 'tidak sah' apabila ia dibina atas arahan pihak berkuasa tempatan? Untuk memanggil tempat ibadat yang telah berkhidmat kepada masyarakat tempatan selama lebih satu abad sebagai 'tidak sah' adalah sesuatu yang sangat tidak hormat terhadap penganut kuil dan masyarakat Hindu amnya, dan menunjukkan ketidakpedulian yang mengejutkan di pihak PM."

Zaid turut mencabar Anwar untuk menyatakan sama ada membina sebuah masjid di atas tapak kuil itu adalah tindakan yang betul.

"Apakah Anwar tidak sedar bahawa kuil itu perlu dirobohkan terlebih dahulu sebelum memindahkannya ke tempat lain? Kuil itu bukan kereta yang boleh dipandu dari satu tempat ke satu tempat. Pemindahan samalah dengan perobohan. Untuk berpindah, ia mesti dirobohkan terlebih dahulu untuk dibina semula di tempat lain."



Sumber | MalaysiaNow 












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Muslimat PAS Johor turun padang bantu mangsa banjir




JOHOR BAHRU
: Skuad Prihatin Muslimat PAS Johor turun padang bagi membantu mangsa banjir di Kampung Maju Jaya Kempas, Tebrau dan Kampung Sepakat Jaya, Kulai yang terjejas teruk akibat banjir lumpur.

Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, aras air telah naik dengan cepat tanpa amaran, menyebabkan ramai penduduk kehilangan harta benda dan memerlukan bantuan segera. 

“Fokus utama misi ini adalah penyaluran makanan, kit kebersihan, pakaian dalam wanita, pampers kanak-kanak, tudung sarung dan kasut kanak-kanak, kepada mangsa yang sedang berusaha membersihkan rumah mereka selepas air surut.

“Ada juga yang masih berteduh di PPS (pusat pemindahan sementara) dan di rumah saudara mara. InsyaAllah, misi akan diteruskan ke kawasan lain yang terjejas banjir. Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dan membantu.

“Semoga Allah merahmati usaha kita semua,” kata Dewan tersebut menerusi satu kenyataan itu.

Situasi banjir di Johor bertambah buruk apabila jumlah mangsa terjejas terus meningkat kepada lebih 13,000 penduduk daripada 3,749 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi.

Semua mangsa banjir ditempatkan di 95 PPS yang diaktifkan di enam daerah yang terjejas iaitu Johor Bahru, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Batu Pahat.

Enam stesen pemancar telekomunikasi 5G di negeri itu turut terjejas akibat banjir yang melanda, dengan gangguan hanya melibatkan rangkaian 5G, sementara rangkaian telekomunikasi lain tidak terkesan. – HARAKAHDAILY 22/3/2025










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Desak pinda Perlembagaan, BERSATU bimbang DAP usik hak Melayu




BANGI, 20 RAMADAN — BERSATU Port Dickson menggesa rakyat negara ini lebih berwaspada dengan ancaman DAP yang menggesa pindaan Perlembagaan.

 

Ketua Bahagiannya, Chegubard berkata DAP tidak mustahil menggesa pindaan perkara lain selepas mahu tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun.

 

“Usul ini menunjukkan DAP mampu mengawal rejim termasuk mengarahkan pindaan Perlembagaan. 

 

“Maka tidak mustahil bila makin berkuasa, DAP akan meminda Perlembagaan dalam perkara seperti raja, hak Bumiputera mahupun perihal agama Persekutuan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas saranan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

 

Katanya, cadangan DAP itu sesuatu yang baik namun ia perlu disusuli dengan melarang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan. 

 

“Isu sebenar Pakatan Harapan (PH) meletakkan manifesto jauh lebih besar iaitu seorang Perdana Menteri tidak boleh pegang portfolio lain khususnya Kementerian Kewangan.

 

“Menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai contoh buruk, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika zaman Najib cuba membawa usul pindaan Perlembagaan tetapi tidak berjaya. 

 

“Malangnya bila berkuasa jelas mereka munafik dan segala manifesto ialah ketimbang (kencing, tipu dan sembang),” katanya. 

 

Chegubard berkata DAP sewajarnya mengangkat usul manifesto sebelum ini iaitu Perdana Menteri tidak boleh menjadi Menteri Kewangan.

 

Katanya, usul DAP yang sekadar mahu mengehadkan tempoh Perdana Menteri menunjukkan kuasa mereka yang mampu mengawal kerajaan.

 

“UMNO dan parti lain boneka kerana parti paling besar ialah DAP. Itu belum lagi pindaan kawasan pilihan raya. Lepas persempadanan baharu, DAP dijangka akan lebih mengukuh.

 

“Dalam hal ini, saya sokong pindaan Perlembagaan Perdana Menteri hanya dua penggal namun pindaan itu wajib dilanjutkan, Perdana Menteri tidak boleh jadi Menteri Kewangan. 

 

“Malah wajar atas semangat kontrak sosial yang menjadi formula kestabilan negara, pindaan itu memasukkan Perdana Menteri pribumi, Melayu dan Islam.” katanya.


Sumber | TV Pertiwi







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Desak roboh kuil haram, Rayer soal bila mahu dakwa Zamri




BANGI, 20 RAMADAN — Ahli Parlimen DAP mempersoalkan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang masih tidak mendakwa pendakwah Zamri Vinoth. 

 

RSN Rayer berkata AGC perlu memberi penjelasan selepas lebih 800 laporan polis dikemukakan terhadap Zamri. 


“Lebih 894 laporan polis dibuat terhadap Zamri susulan hantaran Facebook terdahulunya yang mempersendakan pembawa kavadi Thaipusam.


“Mengapa Peguam Negara masih berdiam diri? Mengapa Zamri belum didakwa di mahkamah? Adakah beliau kebal daripada undang-undang?” soalnya. 

 

Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mempersoalkan tiada tindakan dari AGC. 

 

Zamri sebelum ini mendakwa sebahagian penganut Hindu tidak berada dalam keadaan waras ketika upacara Thaipusam. 

 

Rayer dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan menggesa penganut Hindu membuat laporan polis terhadap Zamri. 

 

Mereka mendakwa kenyataan Zamri di Facebook berhubung upacara Thaipusam menghina agama Hindu.

 

Dalam perkembangan lain, Rayer turut mempersoalkan tindakan Zamri yang menyentuh isu pemindahan kuil di Kuala Lumpur.

 

Katanya, Zamri cuba mengambil kesempatan dengan membuat hantaran berbaur provokasi di laman Facebooknya sekali lagi.

 

“Hantaran terbarunya, Zamri mendakwa kebanyakan kuil dibina secara haram di atas tanah yang bukan milik mereka dan memperlekeh dengan ungkapan ‘illek porringe’.

 

“Mengapa Zamri mencampuri urusan yang tidak berkaitan dengannya? Apa tujuan beliau memuat naik komen provokatif ini sekarang?” soalnya.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri: RM500 untuk penjawat awam, RM250 untuk pesara




BANGI, 20 RAMADAN – Kerajaan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2025 sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah akan dibayar mulai minggu depan.

 

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Bantuan Khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara kerajaan.

 

“Bantuan Khas kepada penjawat awam dan pesra ini melibatkan implikasi kewangan mencecah RM900 juta.

 

“Pembayaran BKKA akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya sambil menambah ia akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

 

Sementara itu, kerajaan turut akan mengawalkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 untuk sembilan juta penerima bermula 24 Mac depan.

 

Katanya, ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.


Sumber | TV Pertiwi







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Usir peguam kuil, biar rasa sakit Jakel, kata Dr Akmal




BANGI, 20 RAMADAN — Ketua Pemuda UMNO mencabar peguam Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mengosongkan rumah mereka bagi pihak ketiga mengambil alih. 

 

Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata hujah peguam meminta pemilik tanah mencari lokasi baharu kuil yang dibina secara haram adalah tidak berasas.

 

“Ini peguam jenis apa yang menggunakan logik undang-undang begini? Saya minta peguam keluar dari rumah kamu yang sedia ada, kerana saya hendak duduk di rumah kamu. 

 

Bolehkah?” soalnya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas laporan media mengenai usaha pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

 

Media semalam melaporkan pihak pengurusan kuil mencadangkan pemilik tanah, Jakel mencari tapak lain untuk membina masjid.

 

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek mencadangkan masjid dibina di dua plot tanah berdekatan berbanding merobohkan kuil yang sudah berusia 130 tahun. 

 

Dr Akmal berkata cadangan penyelesaian pihak kuil menghairankan selepas rundingan sudah diadakan sejak lebih 10 tahun lalu.

 

Katanya, pihak kuil masih enggan berpindah walau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menawarkan lokasi alternatif bagi pembinaan semula rumah ibadat itu.

 

“Tuan tanah punya baik, 10 tahun berbincang untuk mendapatkan penyelesaian bukan beli hari ini esok disuruh keluar. 

 

“Tambahan pula DBKL bagi lagi cadangan tanah lain untuk dipindahkan tetapi kamu masih tidak mahu. Tiba-tiba kamu pula minta tuan tanah cari tanah lain,” katanya. 


Sumber | TV Pertiwi







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo