SHAH ALAM - Setiap pemimpin tidak perlu gentar untuk melalui proses pemilihan, sesuai dengan semangat demokrasi.
Bekas Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, meraikan demokrasi bermaksud membuka ruang kepada semua anggota untuk memilih dan dipilih, justeru prosesnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya disekat mahupun dihadkan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden memerlukan barisan kepimpinan yang lebih dinamik dalam memperkukuhkan agenda rakyat demi memastikan PKR terus kekal relevan dalam dunia politik.
“Sebagai sebuah parti yang melaungkan slogan reformasi sebagai asas perjuangan, maka demokrasi dalam proses pemilihan parti harus diraikan dengan saksama di semua peringkat.
“Pemilihan parti adalah proses untuk menilai semula prestasi setiap pimpinan yang telah diberikan tanggungjawab. Proses pemilihan akan memberikan ruang kepada anggota untuk menukar pemimpin yang lemah mahupun mengekalkan mereka yang berupaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin PKR sebelum ini menyatakan parti itu kemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan yang dijadual berlangsung pada Mei nanti.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berkata, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.
Tambah Syed Badli Shah, sekiranya seorang pemimpin itu dilihat sebagai berprestasi baik dan berupaya, tentunya akar umbi akan memilih untuk mengekalkan posisi dan begitulah juga sebaliknya.
“Setiap pimpinan tidak perlu gentar untuk melalui proses pemilihan samada memilih mahupun dipilih. Demokrasi itu bising sementara senyap bererti tidak berani melakukan perubahan,” jelasnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment