KUANTAN - Parti Amanah Negara (Amanah) didakwa tidak mempunyai identiti, kuasa dan tiada hala tuju yang jelas, kata Ketua Penerangan Pas Pahang, AireroshairiRoslan.
Beliau memberitahu, kepimpinan Amanah termasuk Ketua Komunikasinya, Khalid Abdul Samad hanya mampu melontarkan tuduhan kosong dari luar gelanggang politik dan tidak mampu mengubah realiti kemerosotan parti mereka.
"Amanah kini tanpa identiti, kuasa dan tanpa harapan. Kami di Pas tidak mahu berlama-lama dengan polemik tidak produktif.
"Fokus kami adalah membina masa depan negeri-negeri di bawah pemerintahan Pas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, Khalid mendakwa Pas sebagai parti ekstrem kerana membawa ideologi sekular yang didakwa menghalalkan budaya fitnah.
Beliau menuduh Pas memperlekehkan kesalahan fitnah melalui fatwa terbaharu mereka, yang menyatakan bahawa dosa sekular lebih besar daripada fitnah.
Mengulas lanjut, Aireroshairi berkata, Pas tidak akan melayan tuduhan kosong dan politik fitnah yang dimainkan oleh pihak lawan, sebaliknya akan terus fokus kepada usaha membangunkan negeri-negeri di bawah pentadbirannya.
"Inilah masa untuk membina, bukan membuat fitnah. Kami di Pas yakin pembangunan yang bermakna akan bercakap lebih kuat daripada apa-apa propaganda.
"Teruskan sahaja Khalid dengan politik lapuk anda, tiada siapa pun yang ambil kisah. Kami jalan terus!," katanya.
Beliau turut menjelaskan pentadbiran Pas di Perlis sedang merancang transformasi pendidikan dan pertanian secara komprehensif bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mapan dan berkelanjutan.
Katanya, di Kedah pula, pelbagai usaha dilaksanakan, termasuk program pembangunan merangkumi pemodenan infrastruktur dan sokongan kepada usahawan tempatan.
"Kami tidak sekadar membuat janji, tetapi melaksanakan inisiatif konkrit yang memberi impak langsung kepada rakyat," tegasnya.
Aireroshairi memberitahu, di Kelantan pula, pembangunan tertumpu kepada usaha memperkukuhkan ekonomi tempatan, memperluaskan peluang pekerjaan, dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Katanya, semua projek dirancang dengan teliti untuk memastikan matlamat mengangkat taraf hidup penduduk tercapai.
"Sementara itu, di Terengganu, Pas sedang melaksanakan strategi pembangunan ekonomi yang komprehensif dengan memanfaatkan potensi sektor pelancongan dan industri maritim.
"Setiap projek dilaksanakan dengan perancangan rapi untuk memberikan kesan positif kepada rakyat," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment