MUHAMMAD Sanusi hadir di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini bagi kes keputusan menghasut melibatkan Sultan Selangor. FOTO Genes Gulitah.
MUHAMMAD Sanusi hadir di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini bagi kes keputusan menghasut melibatkan Sultan Selangor. FOTO Genes Gulitah.

Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu ceramah politik.

Beliau bagaimanapun masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang akan dibicarakan 24 hingga 28 Februari depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Masri Mohd Daud di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam ,11 Julai 2023.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada September lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Menerusi surat titah yang dimuat naik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.

"Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya," titah baginda.

Sumber | HMetro