Dua pelajar sekolah dilihat dengan peranti vape mereka di atas meja di sebuah restoran di Ampang, Selangor. |
Kesatuan guru terbesar negara meluahkan rasa kesal dan bimbang terhadap sikap ibu bapa dan penjaga, mengatakan segelintir mereka masih cuai dalam memantau aktiviti pelajar di bawah jagaan mereka sehingga menjejaskan keselamatan mereka di sekolah.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merujuk kejadian terbaru melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua yang cedera akibat jatuh dari bumbung sekolah dipercayai khayal selepas menghisap vape.
Setiausaha Agung NUTP Fouzi Saigon berkata guru sedang bergelut mengawal penggunaan vape di kalangan pelajar apabila terpaksa berdepan cabaran seperti saiz rokok elektronik yang mudah disembunyikan, serta kecenderungan ibu bapa untuk mempertahankan anak mereka walaupun selepas jelas melanggar peraturan sekolah.
Bahkan, katanya, guru-guru sering mendapati ibu bapa sendiri menjadi "teladan" kepada tabiat tersebut.
Jelasnya, dalam banyak kes, rokok elektronik akan dirampas dan diserahkan kepada ibu bapa jika dituntut, sebagai memenuhi surat pekeliling Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape yang dikeluarkan oleh Kemeterian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2015.
Pekeliling itu menyatakan bahawa guru, kakitangan, ibu bapa, pengusaha kantin, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan atau mana-mana individu yang berurusan dengan sekolah juga dilarang daripada menggunakan rokok elektronik atau vape di kawasan sekolah.
Sekiranya murid melanggar larangan itu, pihak sekolah perlu memanggil ibu bapa murid yang terlibat untuk memaklumkan kesalahan murid dan mendapatkan kerjasama membendung masalah itu.
Selain itu, borang akujanji juga perlu dilengkapkan manakala vape yang dirampas diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga berkenaan.
"Tetapi, mengikut pengalaman kami, apabila dirampas vape itu, contohnya pada hari ini, esok ada bapa yang datang ke sekolah minta diberikan balik. Alasannya, itu vape kepunyaan si ayah dan anaknya yang ambil bawa ke sekolah.
"Mereka akan minta cikgu pulangkan balik sebab vape itu baru atau harganya mahal," katanya.
MalaysiaNow pernah melaporkan kebimbangansebahagian doktor dan ahli farmasi di hospital kerajaan mengatakan peningkatan pesakit remaja yang berpunca daripada vape termasuklah mengalami halusinasi dan penyakit paru-paru bocor.
Mereka memberitahu kebanyakan pelajar yang terjebak dengan kegiatan vape berkongsi rokok elektronik dengan ibu bapa atau penjaga masing-masing menyebabkan proses kaunseling tidak berkesan untuk membendung gejala itu.
Fouzi berkata terdapat juga persepsi yang vape tidak bahaya seperti rokok.
Menurutnya, kesan penggunaan vape dalam kalangan pelajar lebih ditakuti kerana tiada kawalan mengenai kandungan cecair yang digunakan dalam rokok elektronik itu, sehingga membawa kepada insiden yang tidak diingini dalam kawasan sekolah.
Katanya, pemantauan dan langkah awal menangani gejala itu boleh bermula di rumah memandangkan ibu bapa meluangkan lebih banyak masa dengan pelajar berbanding guru-guru di sekolah.
Tinjauan Kementerian Kesihatan tahun lalu mendapati seramai 38,384 murid dan pelajar sekolah merokok, termasuk 374 murid sekolah rendah.
Pada tahun sebelumnya, seramai 43,000 pelajar dikesan merokok termasuk 341 murid sekolah rendah.
Namun trend pelajar merokok di Malaysia dilihat berkurang apabila data Global Adult Tobacco Survey (GATS) seiring dengan peningkatan ketara rokok elektronik sehingga 600%, di mana 5.8% adalah pengguna semasa pada tahun lalu, berbanding hanya 0.8% pada tahun 2011.
Industri tembakau dan vape mendapat kelonggaran selepas pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim memansuhkan peruntukan generasi penamat rokok (GEG), yang bertujuan melarang individu dilahirkan selepas 2007 daripada memiliki, membeli atau menggunakan sebarang jenis rokok termasuk vape.
Ia ditambah dengan keputusan kontroversi pada Julai tahun lalu oleh menteri kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, untuk mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun, membolehkan vape dijual secara terbuka kepada orang ramai.
Kerajaan mengutip RM141.1 juta hasil cukai vape, termasuk RM58.55 juta daripada produk cecair vape yang mengandungi nikotin bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Anwar sebelum ini berkata separuh daripada hasil cukai vape akan diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan, dalam usaha meredakan kritikan terhadap kerajaan yang menunda undang-undang anti rokok yang ditentang syarikat tembakau.
Bagaimanapun, pada Julai, badan pemantau kesihatan awam Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, membidas langkah Putrajaya memasukkan hasil cukai vape ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, walaupun berjanji memperuntukkan separuh daripadanya untuk inisiatif berkaitan kesihatan.
Masalah lebih serius
Sebelum ini, KPM mengumumkan akan menangani isu ketagihan vape di kalangan pelajar secara besar-besaran dengan mengambil pendekatan turun ke lapangan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Ayub Yaakob, berkata penggunaan dan penjualan vape patut diharamkan di Malaysia, terutamanya penggunaan bahan cecair perisa "magic mushroom" yang dilaporkan menyebabkan halusinasi dan kesan negatif kepada penggunanya.
"Sekurang-kurangnya gantung dulu penjualannya dan kaji mekanisme dan polisi mengenai nikotin dan vape ini," katanya kepada MalaysiaNow.
Beliau berkata negara perlu mencontohi Singapura yang mengharamkan vape sejak tahun 2018.
Menurutnya, penggunaan vape mendedahkan generasi muda kepada gejala lebih berat termasuk penggunaan dadah yang lebih serius.
"Kalau nak benarkan juga penggunaan dan jualan rokok elektronik, pastikan kita ada keupayaan untuk kawal benda ini sebab budak-budak bawah 18 tahun pun boleh dapatkan benda ini.
"Ini sesuatu yang kita kena beringat," tambahnya.
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment