TEMERLOH – Parti-parti dominasi kaum Melayu dalam kerajaan tidak berwibawa untuk menangani rakan mereka yang bukan Islam dalam isu sijil halal, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, biarpun kebanyakan parti dalam kerajaan adalah berpandukan kepada Melayu dan Islam, ia masih gagal untuk mempertahankan perkara yang melibatkan kesucian agama Islam daripada dicampuri oleh masyarakat bukan Islam.
“Betapa kerajaan perpaduan yang disertai oleh UMNO, PKR dan Amanah tidak boleh menguasai keadaan, tidak berwibawa dan tidak mampu menangani rakan mereka yang bukan Islam.
“Sekarang orang bukan Islam naik kepala dengan begitu rupa, ini pendekatan yang sangat lemah dan menunjukkan besar lagi kewajipan kita dalam perjuangan ini,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian merujuk kepada sikap diam beberapa pemimpin kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Melayu dan Islam yang tidak mempersoalkan kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mempertikaikan soal sijil halal.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyeru parti-parti yang menyertai kerajaan perpaduan supaya tidak terus bersekongkol dengan kepincangan dalam pemimpin bukan Islam yang mempersoalkan isu berkaitan agama rasmi negara.
“Walaupun (parti Melayu dan Islam) duduk dalam kerajaan orang Islam (pemimpin Islam) dalam kerajaan itu tidak ada keupayaan dan tiada kehebatan sehingga kita lihat Islam tiada kedaulatan, kehebatan sehingga kita saksikan isu yang yang sangat mendukacitakan.
“Isu orang bukan Islam berani bercakap tentang Islam dan menyentuh perkara orang Islam, yang terkini adalah isu murtad, halal dan haram, ini hak orang Islam yang diganggu.
“Padahal ini adalah hak orang Islam, kita ada hak untuk menentukan halal dan haram, kerana ia penting dalam Islam untuk jaga roh dan diri dia, iman dan hubungan dengan Allah, ini tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam,” katanya.
Sebelum ini, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, beliau tidak mempersoalkan cadangan sijil halal tapi lebih kepada membuat kenyataan berhubung isu pensijilan halal yang dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Kata beliau, kenyataannya hanyalah menyuarakan pendapat untuk pihak JAKIM mengkaji semula cadangan tersebut. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment