NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sungai Bakap: Kita boleh menang walaupun tarik subsidi



PASIR GUDANG - Isu penyelarasan diesel tidak akan menjejaskan peluang calon kerajaan Perpaduan untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bulan depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jentera parti akan memberi penerangan berkenaan isu tersebut supaya pengundi faham dan tidak terkeliru atau terpengaruh dengan dakwaan tidak benar.

"Kita boleh memenangi walaupun ada banyak isu di luar sana yang bermacam-macam. Saya harap jentera penerangan membuat penjelasan yang tuntas dan padu mengenai penyelasaran subsidi diesel.

"Itu antara isu tumpuan utama di DUN Sungai Bakap. Jadi jika diberikan penerangan dengan teliti saya yakin mereka boleh menerima penjelasan mengenai penyasaran subsidi diesel," katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau perkembangan pembinaan Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di sini pada Khamis.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Chai Tung.

Mengulas lanjut, Ahmad yakin jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) akan dapat bekerjasama untuk memenangkan calon kerajaan Perpaduan kerana hubungan dua gabungan politik itu kini sudah semakin serasi selepas setahun setengah bersama.

Beliau berharap jentera UMNO akan digerakkan selepas dua kali mesyuarat berlangsung dan mereka akan diketuai Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

"Kita mengharapkan Datuk Musa memainkan peranan besar membantu kemenangan. Saya mewakili UMNO selaku Ketua Sekretariat War Room menyatakan di sini bahawa UMNO komited membantu calon kerajaan Perpaduan memenangi kerusi DUN Sungai Bakap," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, pengumuman calon kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, 60, pada malam Rabu iaitu lebih awal daripada hari penamaan calon diharapkan dapat membantu memperkenalkan dirinya.

Menurutnya, Dr Joohari merupakan anak tempatan dan perkara berkenaan amat penting selain mempunyai latar belakang dengan pendidikan tinggi malah merupakan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara.

"Kita kalah 1,000 undi lebih sebelum ini, punca kekalahan itu bermacam-macam antaranya pertukaran calon pada ketika itu dan calon bukan anak tempatan. Ini juga kali ini pertama Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengetengahkan calon mereka.

"Kita sebelum ini telah pun menolong calon daripada Amanah (Parti Amanah Negara) (dalam PRK Parlimen) Pulai dan (PRK) DUN Simpang Jeram. Kita juga telah menolong calon PH daripada DAP di PRK Kuala Kubu Bharu dan kali ini kita membantu calon PKR," ujarnya.

Ahmad menyifatkan perkembangan kerjasama politik tersebut merupakan satu yang memberangsangkan selepas PH sebelum ini membantu calon BN dalam tiga PRK iaitu di DUN Tioman dan DUN Pelangai serta Parlimen Kemaman.

Gabungan PH dan BN mempertaruhkan Dr Joohari sebagai calon mereka yang diumumkan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap pada malam Selasa.

Rafizi berkata, Joohari yang lahir di Permatang Pasir Seberang Perai membesar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap dipilih menjadi calon selepas direstui oleh semua pimpinan kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.



Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo