![]() |
| Jakoa berkata tiada sebarang permohonan naik taraf jalan dari Kampung Orang Asli Pertak ke suatu tanah perkuburan, berdasarkan rekod sejak 2017. (Gambar Facebook) |
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menepis dakwaan seorang penduduk Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu bahawa tiada sebarang peruntukan bagi membaiki jalan di kampung berkenaan.
Jabatan itu memaklumkan berdasarkan rekod Jakoa Hulu Selangor sejak 2017, didapati tiada sebarang permohonan menaik taraf jalan dari Kampung Orang Asli Pertak ke tanah perkuburan seperti yang didakwa penduduk terbabit.
Menurutnya, Jakoa Hulu Selangor melawat kawasan yang dimaksudkan dan mencadangkan untuk menaik taraf jalan tersebut, pada 9 Feb 2022.
“Bagaimanapun pada ketika itu, beberapa penduduk kampung yang mengusahakan ‘camp site’ dan pemilik kebun di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan Jakoa.
“Ini kerana penduduk khuatir kawasan tersebut akan dimasuki oleh pihak luar yang menggunakan kenderaan 4×4 yang boleh menyebabkan kerosakan jalan. Oleh kerana tiada kata sepakat, maka kerja naik taraf yang dicadangkan tidak dapat dilaksanakan,” jelas Jakoa dalam kenyataan.
Sebuah portal tempatan semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Zahidi Kising mendakwa selama ini masyarakat kampung terpaksa mengusung mayat di jalan yang curam dan berbatu-bata sebelum boleh ke tanah perkuburan yang sejauh tiga kilometer.
Beliau turut mendakwa telah membuat permohonan kepada pelbagai pihak sejak 2017 namun tidak mendapat maklum balas atas alasan tiada peruntukan dan memerlukan peruntukan yang banyak.
Jakoa memaklumkan libat urus bersama penduduk Kampung Orang Asli Pertak diadakan bagi tujuan menaik taraf jalan tersebut dan setelah beberapa pertemuan, satu kata sepakat dicapai pada 9 Mac lepas agar jalan tersebut dapat dibaiki.
“Pihak Jakoa kini sedang dalam proses untuk melaksanakan kerja baik pulih dan naik taraf seperti yang dipersetujui,” menurut jabatan itu.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment